Ujian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain 2018, Pulau Pinang terbaik lagi

BERTAM – Seperti tahun lepas, Pulau Pinang muncul sekali lagi sebagai negeri yang mendapat pencapaian terbaik bagi Ujian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) bagi tahun 2018.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berharap Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terus berusaha mereputasi mutu pendidikan negeri, agar kelak menjadi penanda aras di peringkat kebangsaan.

“Saya berharap KAFA Pulau Pinang menjadi peneraju dalam kurikulum dan ko-kurikulum di peringkat kebangsaan serta menjadi penanda aras pendidikan Islam di peringkat kebangsaan,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat pada 18 Disember 2018 di depan 1,580 guru agama di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal berkata demikian ketika merasmikan Majlis Menandatangani Surat Perjanjian & Kontrak Guru KAFA Pulau Pinang di Dewan Millanium, Kepala Batas.

Turut berucap, Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim dan Pengerusi Jawatankuasan Pendidikan MAINPP, Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad.