Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah penuh istiadat

PANGLIMA Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd. Akib Yusof (tengah) menyaksikan istiadat Serah Terima Tongkat Kuasa oleh Leftenan Kolonel Hizral Kamal Othman Kamal (kiri) kepada Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah yang baru, Leftenan Kolonel Hamizal Mohd. Musa dalam majlis berkaitan di Padang Kawad Kem Lebuhraya Peel di sini pada awal pagi tadi.

George Town – Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd. Akib Yusof telah hadir bagi menyaksikan Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah pada awal pagi tadi.

Turut mengiringi beliau dalam Upacara Serah Terima Tugas dan Tongkat Kuasa Timbalan Komander Rejimen ini ialah isterinya, Datin Halida binti Zakaria.

Di khemah utama, Mohd. Akib dan isteri telah diiringi oleh Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah, Leftenan Kolonal Hizral Kamal Othman Kamal dan isteri, Puan Nur Hurul Ain Samsudin; serta Leftenan Kolonel Hamizal Mohd. Musa (Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah yang baru) bersama isteri Puan Nor Huda Asmuni.

Hadir sama, wakil dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, En Mohd. Nizam Mokhtar dan lima orang ahli Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Pulau Pinang iaitu Mejar (Kehormat) Tan Sri Dato’ Sri Dato’ Paduka Prof. Dr. Fng Ah Seng, Mejar (Kehormat) Tan Sri Dato’ Seri Tan Khoon Tai @ Tan Khoon Hai, Leftenan Kolonel (Kehormat) Dato’ Yaacob Md Saad, Mejar (Kehormat) Dato’ Heng Yak Hoi dan Mejar (Kehormat) Dato’ M. Kaleessvaran.

ACARA perbarisan.

Seramai 10 orang pegawai dan 100 anggota dari pelbagai pangkat telah terlibat dalam Upacara Perbarisan Serah Terima Tugas ini diketuai oleh Leftenan Kolonel Mohamad Fouzi Arshad.

Dengan diiringi pancaragam tentera dari 19 RAMD (Mek), seluruh anggota perbarisan menyanyikan lagu Tentera Darat dengan penuh semangat, disusuli dengan pergerakan hormat senjata.

PANGLIMA Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato’ Mohd. Akib Yusof (tengah) menyaksikan istiadat Serah Terima Tugas oleh Leftenan Kolonel Hizral Kamal Othman Kamal (kiri) kepadaTimbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah yang baru, Leftenan Kolonel Hamizal Mohd. Musa dalam majlis berkaitan di Padang Kawad Kem Lebuhraya Peel di sini pada awal pagi tadi.

Selepas itu, barulah Hizral Kamal melakukan acara pemeriksaan perbarisan.

Hizral Kamal dalam ucapan antara lain mengingatkan sekalian anggota Askar Wataniah agar terus menumpahkan taat setia yang tak berbelah-bahagi pada agama, bangsa dan tanah air ini.

“Maka dengan ini Ya Allah, Engkau saksikanlah bahawa aku ini hamba-Mu, telah menyempurnakan amanahmu dan tanggungjawab untuk memerintah dan mengurus tadbir Rejimen Askar Wataniah di negeri (Pulau Pinang) ini.

“Engkah peliharalah Rejimen ini sebaik-baiknya, sejahterakanlah ia semoga pasukan ini terus mengorak maju bagi membentuk anak watan Tentera Darat yang sentiasa bermanfaat demi agama, kepasa bangsa dan juga seterusnya kepada keamanan negara,” jelasnya.

ISTIADAT Majlis Serah Terima Tugas oleh Nur Hurul Ain Samsudin (kiri) kepada Nor Huda Asmuni (kanan) sambil disaksikan oleh seorang Rejimen 509 Askar Wataniah di sini tadi.

Dalam acara berasingan selepas itu, Halida juga telah menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) Rejimen 509 Askar Wataniah di antara Nur Hurul Ain dan Nor Huda.

Jamuan tengahari melibatkan semua pegawai kanan Askar Wataniah serta ahli Kehormat JAKPAW telah mengakhiri majlis ini menjelang masuk waktu Zuhur tadi.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT