Dua jambatan baharu Teluk Bahang diharap kurang risiko banjir kilat, bawa keselesaan penduduk

TELUK BAHANG – Dua jambatan baharu yang kini dalam pembinaan di Jalan Hassan Abbas dan Jalan Kampung Rawai diharap dapat mengurangkan impak banjir kilat serta membawa keselesaan kepada penduduk dekat sini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan sebanyak RM2.52 juta bagi menaik taraf  jambatan  baharu di Jalan Hassan Abbas adalah bagi melancarkan aliran air yang melalui jambatan tersebut.

 

“Projek ini adalah bertujuan menangani banjir kilat di kawasan ini kerana apabila berlakunya hujan lebat, didapati aliran air tidak lancar ekoran saiz ‘box culvert’ kecil sehingga memerangkap sisa-sisa dan seterusnya menghalang air daripada mengalir dengan baik.

 

“Saya masih ingat kerana masa itu tahun 2017 berlaku banjir dan saya merupakan Exco Tebatan Banjir, akhirnya projek ini dapat dijalankan oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan pelaksanaannya oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Barat Daya.

 

“Pembinaan jambatan berukuran 10 meter tersebut bakal menyediakan akses lebih cekap, selamat serta baik kepada pengguna dan ia dijangka siap pada Mac 2023,” ujarnya pada sesi lawatan projek pembinaan jambatan baru di Jalan Hassan Abas bersempena Sesi Jelajah ❤️PENANG ke Parlimen Balik Pulau di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Balik Pulau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat Teluk Bahang, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Yew Tung Seang, barisan Ahli Majlis MBPP dan jurutera-jurutera JPS serta JKR.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa bagi projek kedua di Kampung Rawai, peruntukan RM2.04 juta disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi menggantikan jambatan baharu ekoran jambatan lama yang usang.

 

“Sebelum ini jambatan lama tidak dapat menampung kenderaan besar, hanya pejalan kaki, motosikal dan basikal sahaja yang dapat melaluinya.

 

“Setelah siap, kenderaan seperti kereta boleh melalui jambatan yang dijangka siap pada Julai 2023 berkaitan,” jelasnya yang turut berharap penduduk setempat dapat bersabar dengan kesulitan dilalui oleh penduduk tempatan kini demi kepentingan serta keselesaan di masa depan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : DARWINA MOHD. DAUD