UPB gembleng kerjasama semua pihak hadapi bencana

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Unit Pengurusan Bencana (UPB), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai usaha untuk mewujudkan medium yang boleh menggembleng kerjasama semua pihak bagi menguruskan isu berkaitan perancangan, kesediaan, kesiapsiagaan dan pemulihan dalam bencana.

 

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sehingga kini, UPB telah berjaya melaksanakan beberapa pencapaian yang signifikan, antaranya penubuhan Pusat Logistik Kemanusian Bencana (Disaster Humanitarian Logistic Centre) dengan anggaran kos RM6,500,000 di Bukit D.O., Seberang Perai Tengah.

 

 

“Projek ini mengambil masa tiga tahun bermula pada tahun 2023 sehingga 2025, malah, pusat logistik ini penting kerana pada masa kini Pulau Pinang tidak mempunyai aset khas serupa bagi menyimpan barang-barang keperluan serta sumbangan yang mana hanya bergantung sepenuhnya kepada Depoh Simpanan Keperluan Bencana, Kedah di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya pada Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini petang tadi.

 

 

Di samping itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa UPB juga telah melantik Focal Person Bencana yang akan menjadi penghubung kepada jabatan dan agensi kepada Kerajaan Negeri dalam pemakluman yang pantas dan pengurusan yang cekap.

 

 

“Unit Pengurusan Bencana berperanan dalam memastikan koordinasi yang sistematik di antara Focal Person Bencana dilantik seterusnya dapat mengelakkan kecelaruan informasi.

 

 


“Malah, beberapa siri Bengkel Pengurusan Bencana Bersama Focal Person telah berjaya diadakan bagi memastikan pendedahan terhadap skop tugas setiap jabatan serta agensi ketika bencana sentiasa berterusan,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 


Tambahan itu, menurut Kon Yeow, pada 21 Mac lalu, Latihan Simulasi Bencana Udara peringkat Negeri Pulau Pinang juga turut berjaya dianjurkan.

 

 

“Latihan Simulasi melibatkan kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi telah diselaraskan di bawah pentadbiran UPB yang mana ia merupakan latihan simulasi pertama yang diadakan di lapangan terbang yang melibatkan semua pejabat daerah.

 

 

“Bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar, sebuah Bilik Pemantauan Pengurusan Bencana telah diwujudkan pada 31 Oktober 2023 bagi memastikan penyelarasan, pemantauan dan pengumpulan data dilaksanakan secara teratur dan terkawal dengan menggunakan Sistem Alert dan Geobencana.

 

 

“UPB berhasrat untuk menjadikan pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah diperkasakan dengan melaksanakan beberapa kaedah dan mekanisme yang lebih baik secara holistik di samping memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan bagi tiga golongan sasaran iaitu agensi kerajaan, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta yang membantu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu lanjut.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR