‘Upcycle Lane’ Persiaran Tenggiri asalnya tapak buang sampah haram – Datuk Bandar MBSP

Admin
DATUK Bandar MBSP (berbaju putih, tengah) saling menyantuni komuniti lokal selepas acara perasmian ‘Upcycle Lane’ Persiaran Tenggiri dekat Taman Tunku Seberang Jaya di sini tadi.

SEBERANG JAYA – ‘Upcycle Lane’ Persiaran Tenggiri yang siap dibangunkan tidak jauh dari Taman Rekreasi Taman Tunku diharap akan meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk lokal di sini.

Mengulas lanjut, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad memberitahu bahawa projek baharu itu merupakan salah satu lagi simbol kreativiti ‘Wira Oren’ MBSP dalam memanfaatkan barang-barang kitar semula seperti tayar, buluh, blok kayu dan sebagainya untuk mencipta nilai guna baru buat rakyat.

Menurutnya lagi, MBSP mengambil langkah mengindahkan lokasi tapak pembuangan sampah haram di Persiaran Tenggiri menjadi ‘Upcycle Lane’ di sini pun adalah hasil cadangan penduduk setempat.

“Bahu jalan di Persiaran Tenggiri ini telah dikenal pasti sebagai tempat pembuangan sampah haram sebelum ini.

“(Dan) dengan mewujudkan Upcycle Lane Persiaran Tenggiri di sini, sekali gus menjadi salah satu lagi usaha untuk mengekang aktiviti pembuangan sampah secara haram di lokasi tumpuan atau laluan orang ramai yang ingin beriadah di Taman Tunku,” jelasnya dalam majlis perasmian berkaitan di sini pada 17 Jun 2022.

Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid dan beberapa Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan turut sertai majlis tersebut.

Sebelum pada itu, Azhar memberitahu bahawa pentadbirannya memandang serius mengenai aktiviti pembuangan sampah secara haram di ketiga-tiga Daerah Seberang Perai.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan memperluas langkah cegah rintang seperti ;-

• Memasang portable CCTV di kawasan hotspot.

• Menyenaraihitamkan kontraktor yang terlibat membuang sisa binaan secara haram.

• Membina pengadang atau pagar bagi menghalang pembuangan sampah secara haram di tanah rizab kerajaan.

• Memperkukuh kerjasama bersepadu dengan melibatkan agensi-agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

• Melaksakan projek pengindahan di lokasi hotspot berkaitan aktiviti pembuangan sampah haram.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS