Uptown Butterworth perkasa ekonomi komuniti, buka ruang peniaga kecil jana pendapatan

Admin
img 20261031 220123

BAGAN DALAM – Inisiatif Uptown Butterworth bukan sekadar menyediakan ruang niaga, malah menjadi platform memperkasa penglibatan komuniti setempat serta membuka peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan menerusi pelbagai aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, K. Kumaran berkata, pembangunan berteraskan komuniti itu selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memberi penekanan terhadap kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan dan peluang ekonomi pada peringkat akar umbi.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan menerusi Geran Sejati MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri bagi merangsang pembangunan komuniti.

“Sebanyak tujuh permohonan yang dikemukakan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berjaya diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), sekali gus membolehkan pelbagai kemudahan dan aktiviti pembangunan komuniti dilaksanakan.

“Antara kemudahan yang disediakan termasuk gimnasium dan perkhidmatan dobi bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Uptown Butterworth berhampiran Butterworth Street Art, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdan Menteri (ICU JPM), Mohd. Iqbal Mohd. Noor; Pengurus Kanan Think City Sdn. Bhd., Kishore Ramdas dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), C. Linggeswaran.

img 20261031 215901img 20261031 215810

 

Mengulas lanjut, Kumaran berkata, sejak 2025, pelbagai program telah dianjurkan bagi menghidupkan kawasan berkenaan, termasuk sambutan ambang tahun baharu, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali.

Antara program yang mendapat sambutan menggalakkan ialah Kopi Pop Market, yang berjaya menarik kira-kira 20,000 pengunjung dalam tempoh dua hari.

Katanya, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menghidupkan suasana kawasan berkenaan, malah memberi peluang kepada peniaga kecil memperkenalkan produk dan memperluas pasaran mereka.

Selain itu, pelbagai aktiviti berkonsepkan nostalgia turut diperkenalkan, termasuk lorong kopi, jualan pakaian tradisional serta penyertaan peniaga kecil yang menggunakan kaedah jualan tradisional bagi mengembalikan suasana perdagangan suatu ketika dahulu.

Uptown Butterworth turut menjadi ruang untuk aktiviti kekeluargaan dan kanak-kanak menerusi pertandingan mewarna yang disertai hampir 90 peserta dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.

Menurut Kumaran, usaha mempelbagaikan aktiviti akan diteruskan, termasuk penganjuran konvoi motosikal dan kereta bagi menarik lebih ramai pengunjung serta menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan perkembangan pembangunan di Butterworth sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh kedudukan kawasan berkenaan sebagai destinasi tumpuan masyarakat.

Katanya, pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Penang Sentral serta jangkaan pembangunan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dalam tempoh lima tahun akan datang berpotensi merancakkan lagi pertumbuhan kawasan tersebut.

 

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap usaha membangunkan Uptown Butterworth sebagai inisiatif setempat yang menggabungkan aktiviti ekonomi, sosial dan kebudayaan dalam satu ruang komuniti.

Sehubungan itu, Kumaran merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ICU, Perdana Menteri, Think City Sdn. Bhd., Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan.

img 20261031 220445img 20261031 215711

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua peniaga dan peserta program yang bersama-sama menghidupkan Uptown Butterworth sebagai ruang yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Diharapkan Uptown Butterworth terus berkembang sebagai pemangkin ekonomi komuniti dan ruang pertemuan masyarakat, sekali gus memastikan pembangunan bandar turut dirasai oleh peniaga kecil serta penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Iqbal berkata bahawa inisiatif tersebut adalah selari dengan prinsip Kerajaan MADANI, khususnya tonggak kesejahteraan rakyat yang menekankan pembangunan inklusif serta manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Menurutnya, kejayaan pelaksanaan program seumpama itu memerlukan sokongan padu komuniti setempat, selain komitmen kepimpinan pada peringkat akar umbi dalam merintis dan menerajui aktiviti yang mampu memberi impak positif kepada penduduk.

Mohd. Iqbal berkata, ICU JPM melihat inisiatif berkenaan sebagai usaha yang mampu menyokong pembangunan ekonomi setempat, di samping mewujudkan ruang kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti yang menyumbang kepada kesejahteraan bersama.

Katanya, peranan wakil rakyat dan pemimpin komuniti amat penting dalam mengenal pasti keperluan penduduk, merangka program bersesuaian serta memastikan pelaksanaan inisiatif memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kejayaan Uptown Butterworth turut bergantung pada sinergi antara kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan agenda pembangunan komuniti.

“Pendekatan kerjasama rentas agensi mencerminkan semangat “whole of government dan whole of nation”, yang menggalakkan penyelarasan usaha antara kerajaan dengan masyarakat bagi mencapai matlamat pembangunan yang lebih menyeluruh.

“Diharapkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, kepimpinan setempat dan komuniti dapat diteruskan bagi memastikan Uptown Butterworth berkembang sebagai pemangkin aktiviti ekonomi serta ruang yang membawa manfaat berterusan kepada penduduk setempat,” ujarnya.

img 20261031 215522

Teks & gambar : SUNARTI YUSOFF