Uptown Perda mula dibuka hari ini, 6 petang hingga 11 malam

Admin

SEBERANG JAYA – Uptown Perda yang menjadi simbol serta pusat jaja kecil Melayu paling besar di bahagian Seberang Perai dibuka pada hari ini, bermula 6 petang hingga 11 malam.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa seramai 138 penjaja dibenarkan berniaga di sini, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Kalau tempat cadangan niaga sesuai untuk berniaga, kita (MBSP) memang ingin bantu untuk mengeluarkan permit (penganjuran) dengan SOP ketat untuk dipatuhi penganjur, peniaga-peniaga dan pengunjung,” jelasnya dalam Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Uptown Perda di sini pada 21 Jun 2020.

Turut berucap, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis MBSP.

Pada majlis tersebut, Rozali dan Abdul Halim menyerahkan permit penganjuran Uptown Perda kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Empat, Azhar Mat.

Menurut rekod Jabatan Pelesenan MBSP, Rozali menyatakan bahawa terdapat 77 pasar malam, pasar pagi (5), pasar tani/pasar hari (2) dan penganjur uptown/kendara saji (6) di bahagian Seberang Perai.

“Pembukaan pasar malam, pasar pagi/pasar hari, uptown dan kendara saji ini bukan secara automatik yang mana tempoh 9 Jun 2020 hingga 15 Jun 2020 adalah untuk penganjur membuat persediaan di tapak.

“Penganjur perlu mengemukakan cadangan pematuhan SOP kepada Jabatan Pelesenan dan sehingga kini, MBSP telah menerima 18 permohonan penganjuran, telah diluluskan (14), ditolak (2) dan masih dalam proses (2),” ulasnya.

ABDUL Halim Hussain.

Dalam pada itu, Abdul Halim memberitahu bahawa peniaga kecil termasuk mereka yang menjaja di Uptown Perda adalah digalakkan mencuba perniagaan secara dalam talian, untuk menjana kembali pendapatan yang terjejas teruk dek pandemik COVID-19 sejak Mac lepas.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri baru-baru ini memperuntukkan RM500,000 untuk saling berkolaborasi dengan Shopee dalam menyediakan platform niaga talian secara percuma kepada penduduk Pulau Pinang.

“Sajak PKP ini, tempiasnya adalah melibatkan semua, termasuk peniaga kecil serta usahawan.

“Justeru, Kerajaan Negeri cuba melaksanakan rangsangan ekonomi melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 1.0 sebanyak RM75 juta antaranya dengan memberi RM500 kepada penjaja dan peniaga kecil, kemudian dalam fasa dua (Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0) sebanyak RM76 juta.

“Normal Baharu akibat COVID-19 ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 dalam bentuk baucar diskaun supaya peniaga masuk platform Shopee ini.

“Dalam tempoh dua minggu ini, 5,034 peniaga telah masuk berniaga melalui Shopee…masuk percuma dan latihan akan diberikan.

“Ini, antara yang saya minta semua peniaga cepat-cepat mendaftar, kerana melalui platform Shopee ini mereka boleh meluaskan lagi pasaran mereka selain jualan secara ‘offline’,” serunya.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB