Pemilik tanah diberi notis terakhir hapus kacau ganggu berdekatan Temple Kek Lok Si

Admin

AIR ITAM – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis kelima yang Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan (Seksyen 82) terhadap pemilik tanah di Jalan Balik Pulau, Ayer Itam berdekatan Temple Kek Lok Si di sini.

Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang berkata, mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 pemilik tanah dikehendaki menghapuskan kacau ganggu yang wujud dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis diterima.

“MBPP pada 17 Jun lalu ada menerima aduan daripada orang awam berhubung kacau ganggu iaitu pokok mati yang wujud di sini, malah pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam turut menerima aduan yang sama sejak hujung tahun lalu (2019).

“Notis pertama bertarikh 15 November 2019 telah dihantar kepada pemilik tanah untuk mengambil tindakan segera, diikuti dengan notis kedua (28 Januari 2020), notis ketiga (20 Februari 2020), notis keempat (29 Mei 2020) dan notis terakhir iaitu Akta Kerajaan tempatan 1976 (Seksyen 82) pada 17 Jun 2020.

“Mengikut akta tersebut, jika disabitkan kesalahan denda boleh dikenakan tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah subsekyen 82(5) Akta Kerajaan tempatan 1976,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ahli Majlis, Rohaizat Hamid dan Penolong Pegawai Pertanian Jabatan Landskap MBPP, Mohd. Zaid Amri Amirruddin.

Hasil tinjuan mendapati terdapat sepohon pokok besar yang telah mati dan pokok-pokok yang tidak diselenggara di sepanjang jalan sehingga menimbulkan kacau gangu kepada kabel elektrik di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Soo Siang memberitahu bahawa selepas tempoh 14 hari sekiranya pemilik tanah masih ingkar akan kehendak notis, MBPP akan mengambil tindakan segera menghapuskan kacau ganggu tersebut dan keseluruhan kos tersebut akan dibiayai dan dihantar kepada pemilik tanah.

“Ingin dijelaskan di sini kepada orang awam bahawa kita (MBPP) mempunyai SOP (prosedur operasi standard) yang perlu diikuti.

“Memandangkan lima notis telah dihantar dan pemilik tanah masih berdiam diri, Majlis akan mengambil tindakan segera selepas tempoh 14 hari dan segala kos penyelenggaraan sepenuhnya akan dihantar kepada pemilik tanah,” tegas beliau.

Teks dan gambar : NORSHAHIDA YUSOFF