Urus perbezaan pendapat secara rundingan, nasihat KM

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menasihatkan semua wakil rakyat Kerajaan Negeri supaya lebih berhati-hati dalam mengurus perbezaan pendapat demi memulihara kewibawaan masingmasing di mata rakyat.

“Paling penting, semua ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) saling bekerjasama dengan Exco dan selesaikan perbezaan pendapat secara rundingan, sebelum pergi kepada media.

“Sebagai kerajaan, kita mempunyai kuasa dan kuasa mesti datang bersama-sama tanggungjawab,” ujarnya dalam Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama-sama Seluruh Pemimpin Negeri di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) turut berucap pada majlis ringkas itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Datuk Mokhtar Mohd. Jait (Pegawai Kewangan Negeri), ADUNADUN dan Ahli-ahli Parlimen turut hadir pada majlis tersebut.

Menurut Guan Eng, tiada gunanya seseorang wakil rakyat itu hanya menjadi ‘hero’ di media massa, sekiranya individu berkenaan tidak bertanggungjawab untuk menyelesaikan satu-satu perbezaan pendapat menerusi pendekatan Kerajaan Negeri sendiri.