Senamrobik MPSP makin dapat sambutan

SIHAT… Senamrobik bersama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) peringkat daerah Seberang Perai Utara (SPU) diteruskan dengan lebih ramai penyertaan umum di Taman Tugu Demokrasi di sini baru-baru ini..

Program aktiviti sihat anjuran MPSP dengan kerjasama My Shape Fitness Centre tersebut bertujuan mempromosikan budaya hidup sihat dalam kalangan penduduk Seberang Perai.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif ketika ditemui berkata, aktiviti tersebut dijalankan sejajar dengan laungan slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

“Untuk merealisasikan slogan itu, MPSP dengan kerjasama My Shape Fitness Centre tidak jemu-jemu menjalankan aktiviti senamrobik ini di setiap tiga daerah di Seberang Perai.

“Semoga program yang akan dijalankan selepas perayaan Tahun Baru Cina pada 9 Februari ini di Taman Berjaya, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan akan mendapat lebih banyak penyertaan,” ujarnya di sini baru-baru ini.