Usaha hentikan pencemaran perlu penglibatan semua pihak – ADUN

Admin

BATU MAUNG – Sampah-sarap terutamanya bahan plastik menjadi salah satu ancaman terbesar dunia yang menyumbang kepada masalah pemanasan global serta memusnahkan ekosistem hidupan laut.

Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain menegaskan bahawa semua pihak perlu memainkan peranan bagi memastikan sampah-sarap yang dibuang tidak dialirkan terus ke dalam laut.

“Kemusnahan ekosistem ini juga mampu menyebabkan hidupan laut serta terumbu karang musnah dan pupus pada masa hadapan.

“Jadi, peranan untuk menghentikan pencemaran dan pembuangan sampah ke laut harus dipikul oleh semua pihak bai memastikan kelestarian alam sekitar pada masa hadapan,” ujar beliau yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan ketika berucap pada Program Pembersihan Pantai dekat Kawasan Permatang Tepi Laut baru-baru ini.

Difahamkan, sebanyak 14kilogram botol plastik dan aluminium berjaya dikumpul oleh kira-kira 150 peserta yang mengambil bahagian dalam program tersebut.

Turut menjayakan program tersebut termasuklah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat, nelayan, kakitangan kilang Intel dan penduduk-penduduk setempat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADUN