Usaha Persatuan Nurul Islam bina pusat pembangunan masyarakat Islam disokong

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan sokongan berhubung usaha Persatuan Nurul Islam Pulau Pinang membina sebuah pusat pembangunan masyarakat Islam di negeri ini.

Beliau menyatakan sokongan berkenaan sempena kunjungan hormat beberapa wakil persatuan berkaitan yang diketuai oleh Pengerusi Wakafnya, Datuk Dr. Shek Daud Hamid dekat Pejabat Ketua Menteri di Komtar, sebentar tadi.

Terdahulu, Shek Daud memberitahu bahawa Persatuan Nurul Islam Pulau Pinang bakal membina bangunan setinggi enam tingkat di atas tanah wakaf dekat Lorong Popus, di sini bagi tujuan pendidikan dan kemasyarakatan Islam khususnya di bandar raya ini.

“Pusat yang dibina ini bakal menjadi platform untuk orang ramai melakukan kegiatan kemasyarakatan oleh seluruh komuniti tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.

“Selain itu, pembinaan ia juga mengguna pakai konsep hijau yang selari dengan Visi Penang2030 dan turut dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan serba guna, madrasah, penginapan musafir serta pusat sukan,” ujar beliau.

Turut serta dalam pertemuan kira-kira 30 minit tersebut ialah Setiausaha Persatuan Nurul Islam, Abdul Wahab Zainol Abideen serta barisan ahli jawatankuasa, Mohd. Sintha Madar Muhamed; Osman Shahul Hamid serta Dr. Shaik Abdullah Hassan Mydin.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI