Usahawan jangan hanya tumpu produk makanan & minuman – TKMI

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon menyeru para dan bakal usahawan supaya tidak hanya menumpukan bidang perusahaan makanan dan minuman sematamata.

Ini kerana, katanya, sektor keusahawanan kini adalah begitu meluas meliputi sektor informasi dan teknologi komunikasi (ICT), perkhidmatan baikpulih barangan elektrik elektronik, bidang pembelajaran dan sebagainya.

Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Karnival Usahawan ICT dan Koperasi Daerah Barat Daya yang diadakan di Subterranean Penang International Convention Centre and Exhibition (SPICE) di sini baru-baru ini.

Karnival yang memperoleh kerjasama Persatuan Pengusaha ICT Malaysia (PIKOM) berjaya menampilkan 34 pengusaha dari pelbagai latar belakang termasuk badan-badan kerajaan.

Sebagai penghargaan, seramai 12 usahawan kecil turut menerima sumbangan kelengkapan berniaga dari Pejabat Daerah dan Tanah Dearah Barat Daya (PDTBD) seperti mesin pengadun, mesin jahit, periuk, mesin proses air tebu dan lain-lain sebagai pendorong menaiktaraf perniagaan masing-masing.

Beberapa acara menarik seperti permainan video dan cabutan bertuah turut diadakan.

Mengulas lanjut berhubung penganjuran berkaitan, Mohd. Rashid memberitahu bahawa terdapat kepelbagaian bidang keusahawanan diceburi pengusaha-pengusaha kini terutamanya ICT, perkhidmatan baikpulih dan selenggara.