Lulus permit lewat jejas promosi hartanah P. Pinang – REHDA

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG – Amalan Putrajaya melambat-lambatkan kelulusan lesen pemaju dan permit iklan (DLAP) di Pulau Pinang dikatakan salah satu punca lebih 30 pemaju lewat memasarkan hartanah masing-masing belakangan ini.

Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Jerry Chan berkata demikian semasa berkongsi analisis mengenai Bajet 2015 yang baru diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

“Kami tidak pasti mengapa ada kelewatan dalam kelulusan (DLAP) yang biasa mengambil masa dalam dua minggu, selepas satu-satu permohonan dikemukakan kepada Kementerian (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, KPKT).

“Kami difahamkan (kelewatan meluluskan DLAP) ini dilakukan kepada pemaju projek di negeri ini sahaja.

“Sebahagian pemaju yang turut aktif di negeri-negeri lain ada memberitahu kami bahawa hanya DLAP untuk projek di Pulau Pinang sahaja tertangguh,” ujarnya kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Dalam satu sesi interaksi dengan pihak berwajib terdahulu, katanya lagi, REHDA Pulau Pinang pernah diberitahu bahawa permohonan DLAP di negeri ini dikategorikan ‘kes-kes khas’.

Implikasinya, beliau menjelaskan, kos pengurusan projek akan meningkat hingga mengekang proses mempromosi hartanah melalui majlis pelancaran, iklan serta kutipan wang tempahan berwajib.

“Setelah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk pembelian tanah, pinjaman bank, caj pembangunan sebelum pelancaran projek, kelewatan kelulusan DLAP ini telahpun menambah lagi kos mereka (pemaju),” kata Jerry.

Difahamkan, penjualan unit hartanah bergantung pada DLAP yang dipohon pemaju susulan mendapat semua kelulusan di peringkat negeri.

Itu, tambah Jerry, belum mengambil kira rancangan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dijadualkan mulai pertengahan tahun depan.

“Dijangkakan, kos pemajuan meningkat lima peratus, paling dikhuatiri terburuk (apabila) kos ini meningkat hingga 15 peratus,” jelasnya.

Selain itu, Jerry turut mengesyorkan Kerajaan Negeri supaya mengkaji semula beberapa amalan pemajuan, seperti penjualan tanah pada nilai harga tertinggi, fi berwajib seperti sumbangan pembangunan, bayaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) serta utiliti yang dikatakan turut menyumbang pada peningkatan kos pengurusan projek.

“REHDA merayu kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (serta) agensi kerajaan supaya memahami cabaran didepani industri (pemajuan hartanah), dengan ketidaktentuan ekonomi di samping peningkatan kos pembinaan serta (fi) pematuhan.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat memahami komitmen kami dalam memajukan hartanah, terutama perumahan berkualiti di bawah harga (siling yang digariskan) oleh Kementerian,” seru Jerry.