Usahawan, penggerak koperasi perlu sesuaikan diri dengan e-dagang, seru Exco

SEBERANG JAYA – Usahawan, termasuk penggerak koperasi di negeri ini diminta supaya menyesuaikan diri dengan kemudahan e-dagang demi memperluas lagi pasaran perniagaan masing-masing.

Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata Google pada hujung tahun lepas dilaporkan telah meningkatkan ramalan korporat mereka dengan sektor e-dagang berkembang lebih cepat daripada jangkaan asal dan bakal meraih RM426 bilion dalam nilai barangan kasar (GMV) menjelang 2025.

“Tabiat pengguna telah berubah, rakyat dah ada tak pergi lagi ke pasar basah dan pasar raya disebabkan trafik sesak dan sebagainya, kerana ada cara dengan membeli-belah dalam pasaran digital.

“Model perniagaan berubah, jadi semua usahawan mesti menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

“Selepas enam bulan, saya nak tengok ada rekod cemerlang daripada para usahawan yang mengikuti seminar ini,” jelas Abdul Halim kepada pemberita selepas berucap dalam Seminar Infiniti E-Dagang Pulau Pinang 2019 di sini pada, semalam.

Dilaporkan, e-dagang menyumbang sebanyak RM86.5 bilion untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 dengan pertumbuhan tahunan pada 12.5 peratus.

Mengambil kira perkembangan itu, Abdul Halim berkata dengan memuat turun aplikasi e-dagang PG Mall – https://pgmall.my/eBiz-COOP-MART – dalam telefon pintar masing-masing, pelanggan sudah boleh membeli barang-barang yang dipasarkan oleh beberapa koperasi dari negeri ini.

Setakat ini, tambah beliau, enam koperasi telah memanfaatkan fasiliti e-dagang iaitu Koperasi Qaryah Masjid Taman Bertam, Koperasi Wanita Kepala Batas Bhd., Koperasi Perdasama Pulau Pinang Berhad, Koperasi Bioteknologi Pertanian Pulau Pinang, Koperasi Guru Besar SK Pulau Pinang dan Koperasi Nurul Islam Pulau Pinang Bhd.

“Pada tahun ini juga, kita sasar sekurang-kurangnya 100 usahawan dan penggerak koperasi dapat menyertai seminar seumpama ini, dengan kerjasama PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang), juga (agensi persekutuan) SME Corp., supaya lebih ramai lagi manfaatkan e-dagang.

“Dapat juga kita (Kerajaan Negeri) lihat hasil mereka yang cemerlang dalam memperluas pasaran perniagaan secara atas talian, menerusi e-dagang ini,” jelas Abdul Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB