Permainan Pendidikan Digital Hijau sasar generasi muda, pulihara & pelihara alam sekitar

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengambil inisiatif berkolaborasi membangunkan ‘Permainan Pendidikan Digital Hijau’ atau Digital Education Green Games sebagai salah satu alat bantu mengajar dalam menarik minat dan menyampaikan ilmu secara berkesan khasnya bagi generasi muda.

Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pertandingan Permainan Hijau Digital Sekolah Piala Pusingan Datuk Bandar berkata, MPSP bersama-sama dua rakan strategik tersebut iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) berkolaborasi membangunkan permainan berkaitan bagi memberi impak positif terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Inisiatif ini adalah sejajar dengan sasaran MPSP ke arah menjadi Bandaraya Rendah Karbon dan Bandaraya Pintar menjelang tahun 2022.

“(Dan) saya berharap lebih banyak kolaborasi dapat dijalinkan dengan pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) pada masa hadapan serta berharap institusi penyelidikan juga tampil bersama dalam menjayakannya,” katanya.

Menurut Rozali, sebanyak 166 penyertaan di terima dari sekolah-sekolah di Seberang Perai.

“Sempena penaiktarafan MPSP sebagai Bandaraya tidak lama lagi, pihak kami akan mengeluarkan sijil kepada peserta pertandingan bagi membolehkan mereka memperoleh markah tambahan untuk kemasukan ke IPT.

“Pertandingan ini mengguna pakai konsep permainan berbentuk pengembaraan dan uji pengetahuan,” ujarnya kepada pemberita di Ibu Pejabat MPSP di Bandar Perda baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ketua Projek Permainan Hijau Digital Sekolah Daripada Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI, Profesor Madya Dr. Che Zalina Zulkifli dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Difahamkan, terdapat sebanyak tiga jenis permainan elektronik iaitu pengkomposan (Welcome 2 Compost), perang terhadap sampah (Rubbish War) dan pencemaran lautan (Ocean Zero Trash).

Permainan digital ini boleh dimuat turun melalui www.geoplay.my dan mempunyai fleksibiliti imbasan melalui kod QR serta boleh dimainkan secara terus tanpa talian internet.

 

Teks : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MPSP