Utusan Malaysia minta maaf, tarik balik laporan palsu terhadap Guan Eng

GEORGE TOWN – Utusan Malaysia serta penulisnya, Zulkifli Jalil pagi tadi melafazkan permohonan maaf serta menarik balik satu laporan berita palsu yang menfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencampuri urusan tanah wakaf umat Islam di negeri ini.

Sambil bersalaman dengan Guan Eng, Zulkifli melafazkan permohonan maaf itu di depan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, YA Datuk Rosilah Yop.

Bercakap kepada pemberita, Guan Eng menzahirkan rasa gembira kerana akhirnya beliau berjaya juga membersihkan nama baik diri dan keluarga.

“Mereka yang meminta untuk menyelesaikan kes ini dengan memohon maaf kepada saya, saya memang mahu meneruskan perbicaraan kes ini.

“Saya berasa gembira kerana saya dapat bersihkan nama saya daripada fitnah jahat Utusan Malaysia tentang suatu rencana yang disiarkan pada 10 April 2015,” katanya yang juga Menteri Kewangan di luar kamar Hakim Mahkamah Tinggi 4, Kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 27 September 2018.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Datuk N. Mureli iaitu peguam kepada Guan Eng.

Menjawab soalan pemberita, Guan Eng menyatakan bahawa pihaknya sedang meneliti beberapa lagi laporan media serta komentar di sosial media yang begitu jelas melemparkan tuduhan palsu terhadap saya, akan dirujuk ke mahkamah kelak.

Pada 10 April 2015, akhbar Utusan Malaysia menyiarkan sebuah rencana berjudul ‘Pengundi atas pagar jadi penentu?’

Dalam artikel berita itu adalah lain menyiarkan, “Bagi tanah wakaf pula, sekarang diletakkan di bawah pengawasan Ketua Menteri. Sebarang cadangan membangunkannya mesti mendapat kelulusan beliau. Sedangkan pengurusan tanah-tanah wakaf sepatutnya diserahkan kepada majlis agama negeri seperti mana pada era pentadbiran BN.”

Mewakili Guan Eng, Mureli menyatakan bahawa pihaknya memfailkan saman fitnah tersebut di mahkamah pada 10 September 2015.

Tambah beliau, Hakim menetapkan 23 November ini sebagai proses menentukan kuantum pampasan ganti rugi yang perlu dibayar oleh defendan-defendan kepada Guan Eng, beserta dengan kos guaman.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar & Video : AHMAD ADIL MUHAMAD