Vaksin percuma elak penyakit FMD

Admin

BUKIT TENGAH – Kerajaan Negeri baru-baru ini mengagihkan 654 botol vaksin Penyakit Kuku dan Mulut (FMD) kepada 175 penternak babi berdaftar di negeri ini.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Dato’ Law Choo Kiang memberitahu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2011 mengagihkan vaksin itu secara percuma, dan kali ini membabitkan kelulusan peruntukan sejumlah RM189,660.

“Di Malaysia, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang memberikan vaksin FMD ini secara percuma.

“Pemberian vaksin secara percuma ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri (Pakatan Harapan) untuk memastikan ternakan khinzir bebas daripada penyakit FMD, dengan cara penvaksinan FMD secara menyeluruh di semua ladang negeri ini,” jelasnya pada Majlis Pengagihan Vaksin Kepada Penternak Babi Pulau Pinang dekat Dataran Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri di sini 17 April lalu.

Choo Kiang berkata demikian ketika mewakili Exco ‘sementara’ Pertanian & Indutsri Asas, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada majlis penyampaian tahunan tersebut. Hadir sama, Pengarah DVS Negeri, Dr. Anum Man; wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Heng Chian Shein; wakil Persatuan Penternak Babi Pulau Pinang, Wong Kong Chew; Pengurus Pemasaran Agritech Enterprise Sdn. Bhd., Chew Kheng Hian dan Pengurus Pemasaran Babi dan Ayam Bohriger Ingelheim, Dr. Choo Li Chen.