Tiga juadah istimewa air tangan Chef Wan dekati warga Pulau Pinang

Admin

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : FB MP BUKIT MERTAJAM

MACHANG BUBOK – Penduduk di sekitar Bukit Mertajam cukup bertuah apabila berpeluang menikmati tiga juadah istimewa yang dimasak sendiri oleh cef selebriti terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau lebih
dikenali sebagai Chef Wan.

‘Seafood paella’, ‘spicy tuna penne’ dan ‘ayam tuturuga’ merupakan juadah istimewa yang dimasak sendiri oleh Chef Wan dalam sebuah program komuniti dinamakan ‘Chef Wan: Mai To’Kun’ di Hutan Lipur Bukit Mertajam di sini baru-baru ini.

Ketika ditemui, beliau berkata, program berkenaan adalah sebahagian daripada usaha beliau untuk mendekati warga Pulau Pinang terutamanya golongan ibu.

Menurut Chef Wan, bidang masakan juga mempunyai persamaan dunia politik yang mana hanya dengan memilih bahan-bahan berkualiti sahaja mampu menghasilkan masakan yang terbaik.

“Begitu juga dengan politik, hanya dengan melaksanakan dasar-dasar baik dan pemilihan pemimpin yang berkualiti barulah negara kita akan maju,” katanya sebagai respons celoteh bersama-sama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Selain demonstrasi masakan, turut diadakan adalah pertandingan menumbuk sambal, memotong bawang, pertandingan meniup belon untuk kanak-kanak dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan yang menerima penyertaan menggalakkan.

Chef Wan yang bergandingan bersama-sama anaknya, Chef Nazri turut muncul dalam program yang dinamakan ‘Membawang Bersama Chef Wan – Pedas Lagi Hangat’ di Desiran Tanjung, Tanjung Tokong sehari sebelum itu.

Program anjuran #laparpo Production itu turut menampilkan ADUN Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari. Malah, mereka yang hadir pada hari itu turut berpeluang mendapatkan buku “Ada Aku Kesah?” hasil nukilan Chef Wan sendiri dengan potongan harga istimewa berserta tandatangan dan berswafoto sebagai kenang-kenangan.