Van kaunter bergerak MBPP harap mudahkan pelanggan

GEORGE TOWN – Van kaunter bergerak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mula beroperasi mengikut jadual sejak 1 Disember lalu di beberapa lokasi pasar serta tapak jaja terpilih diharap memudahkan pelanggan membayar bil berwajib serta melangsaikan tunggakan.

Ahli Majlisnya, Joseph Ng Soon Siang berkata, kaunter tersebut menerima semua jenis bil MBPP (kecuali Bil Tempahan), bil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bil Sewa Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), bil Caj Servis PDC Urus Setia serta Bil Cukai Taksiran Majlis Perbadaran Seberang Perai (MPSP).

“Kaunter bergerak ini seumpama satu pusat sehenti,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan MBPP pada sidang media di sini baru-baru ini.

Beberapa Ahli-ahli Majlis serta Ketua-ketua Jabatan MBPP turut sertai sidang media itu.

Difahamkan, MBPP memperuntukan kira-kira RM158,311 untuk membeli serta mengubahsuai semula van berkenaan.

Soon Siang memberitahu, operasi kaunter bergerak tersebut lebih menumpu pada kawasan yang direkodkan banyak tunggakan berwajib kepada MBPP.

“Kita nak ubah persepsi masyarakat. “Diharap dengan adanya khidmat kaunter bergerak ini, ia akan memudahkan orang ramai menjelaskan bil tertunggak.

“Urusan pembayaran boleh dilakukan secara tunai, cek ataupun wang pos sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, Soon Siang memberitahu, Majlis Mesyuarat Biasa (MBM) sebelum ini memutuskan supaya van kaunter bergerak tersebut tidak menerima pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) atas hujah ada caj tambahan dikenakan ke atas pengguna.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi, Unit Pembilang Wang MBPP di talian 04 – 259 2179 dan Unit Aduan MBPP di 04 – 259 2058.

}