Taman Kejiranan Karpal Singh abadi nama tokoh disanjung

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : AMANDA KHONG XIA LING

SERI DELIMA – Taman Kejiranan Karpal Singh yang terletak di Lorong Delima 11, Island Glades di sini merupakan taman kejiranan pertama di negeri ini yang mengabadikan nama seorang tokoh yang disanjung umum.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pemilihan nama bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor iaitu mendiang Karpal yang merupakan anak jati tempatan adalah sebagai tanda penghargaan dan hormat atas jasa beliau dalam bidang kehakiman serta politik.

“Walaupun mendiang telah tiada, perjuangan dan semangatnya dalam mempertahankan hak rakyat terus mekar tidak kira di negeri ini mahupun dalam negara,” katanya ketika hadir merasmikan pembukaan umum Taman Kejiranan Karpal Singh di sini baru-baru ini.

Anak sulung mendiang Karpal, Jagdeep Singh Deo yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat turut hadir pada majlis tersebut.

Hadir sama, ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer, Setiausaha Bandaraya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye, beberapa Ahli-ahli Majlis MBPP serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Taman Kejiranan Karpal Singh dilengkapi dengan kemudahan riadah dan rekreasi termasuk laluan pejalan kaki, alatan senaman, lampu solar dan persekitaran yang menghijau.

Dalam pada itu, isteri mendiang, Gurmit Kaur yang juga hadir menyaksikan perasmian taman kejiranan tersebut melahirkan rasa terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

“Saya dan keluarga sangat berbesar hati dengan penghormatan yang diberikan. Ia amat bermakna,” katanya yang turut hadir bersama anak bongsunya, Mankarpal Singh.

Mendiang Karpal Singh merupakan mantan Ahli Parlimen Bukit Gelugor selama 10 tahun sejak 2004 dan telah banyak berjasa bukan sahaja kepada penduduk di Bukit Gelugor, tetapi rakyat Pulau Pinang dan negara secara keseluruhannya.d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);