GEORGE TOWN – Pentadbiran Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini menerima kunjungan akademik 21 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengikuti bidang Pentadbiran Awam bagi mendalami aspek pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Delegasi yang diiringi Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Sains Politik), Dr. Razlini Mohd. Ramli itu disambut oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman.
Hadir sama, Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri merangkap Pengarah Komunikasi (Unit Penerangan), Yap Lee Ying; Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Lai Hong Meng serta pegawai-pegawai kanan unit Pejabat Ketua Menteri.

Sepanjang kunjungan tersebut, para mahasiswa diberi taklimat berkaitan struktur pengoperasian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) termasuk fungsi dan pentadbiran Pejabat Ketua Menteri dalam menyelaras dasar, komunikasi serta urusan berkaitan pentadbiran negeri.
Turut dikongsikan kepada mahasiswa tahun akhir berkenaan adalah aspirasi Visi Penang2030 yang menjadi hala tuju pembangunan negeri ke arah sebuah negeri yang berfokuskan keluarga, hijau dan pintar serta memberi inspirasi kepada negara.

Kunjungan akademik tersebut turut memberi pendedahan secara langsung kepada para mahasiswa mengenai peranan sektor awam dalam proses membuat keputusan, penyelarasan dasar serta pelaksanaan inisiatif pembangunan negeri, sekali gus membantu mereka memahami realiti sebenar dunia pentadbiran sesebuah kerajaan.
Selain itu, ia juga diserikan dengan sesi soal jawab dan interaksi dua hala antara mahasiswa serta pegawai-pegawai kanan Pejabat Ketua Menteri bagi membuka ruang perkongsian ilmu, pengalaman dan pandangan berkaitan landskap pentadbiran awam di Pulau Pinang.

Usai pertemuan, delegasi sempat bertemu, beramah-mesra dan merakam gambar kenang-kenangan bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di pejabatnya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: SIEW CHIA EN