Wabak di Perkampungan Valdor C terkawal – Dr. Norlela

DR. Norlela Ariffin (tiga dari kiri) dan dua lain mengiringi Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow (dua dari kiri) menyempurnakan acara gimik perasmian majlis berkaitan sempena sambutan Hari Denggi ASEAN Peringkat Negeri di Kampung Bukit Gelugor pada 25 Jun 2022.

GEORGE TOWN – Operasi pemantauan lokaliti di Perkampungan Valdor C ekoran terdapat dua kes denggi dan dua kes chikungunya yang dilaporkan baru-baru ini adalah dalam kawalan.

Walau bagaimanapun, Exco Agroteknologi Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan terus melakukan langkah-langkah kawalan dan pencegahan berkaitan demi memutuskan rantaian jangkitan di negeri.

“Sebagai contoh, aktiviti kawalan vektor yang melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan dijalankan untuk setiap kejadian kes tunggal (single case) atau wabak.

“Di samping itu, aktiviti pencegahan juga dipertingkatkan di lokaliti keutamaan dan berisiko di seluruh negeri Pulau Pinang,” jelasnya dalam kenyataan bertulis kepada Buletin Mutiara pada 26 September 2022.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti memberitahu bahawa Sehingga 24 September 2022, sejumlah 312,711 premis telah diperiksa dan 445 kompaun dengan nilai RM222,500 dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan Aedes.

“Kompaun yang dikeluarkan adalah di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154],” jelasnya lagi sambil meminta seluruh lapisan masyarakat supaya memikul tanggungjawab secara bersama bagi memutuskan rantaian wabak.

Mengulas lanjut, Dr. Norlela memberitahu bahawa kejadian wabak denggi yang dilaporkan sehingga 24 September 2022 adalah sebanyak 42 kes berbanding tujuh kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.

Menurutnya lagi, daripada 42 wabak denggi yang dilaporkan, 33 kes telah tamat manakala sembilan kes lagi masih aktif.

Sementara itu, sumber JKNPP memberitahu bahawa dalam tahun ini sahaja iaitu sehingga 24 September lepas menyaksikan bilangan kes demam denggi yang dilaporkan di Pulau Pinang adalah sebanyak 595 kes dan tiada kes kematian direkodkan.

“Jumlah kes pada tahun ini meningkat sebanyak 93.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021 (308 kes).

“Bagaimanapun, jumlah kes pada tahun ini adalah lebih rendah berbanding jumlah kes sebelum pandemik COVID-19 iaitu penurunan sebanyak 26.2 peratus sebanyak pada tahun 2020 (806 kes) dan penurunan sebanyak 83.4 peratus sebanyak (3,574 kes) pada tahun 2019.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB