Wan Rohaimi akui ‘professional foul’ jejas perancangan, Penang FC perlu bangkit

255d8914 97f3 49e0 bdf9 5171a6c33a4a

GEORGE TOWN – Ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail mengakui tindakan professional foul yang membawa kepada layangan kad merah terhadap pemainnya menjadi antara faktor utama kekalahan 0-1 pada aksi pembukaan MFl Liga Super musim 2026/2027 menentang Brunei DPMM petang tadi.

Jelasnya, keputusan pengadil melayangkan kad merah bukan perkara yang dipertikaikan, sebaliknya tindakan yang berlaku sebelum insiden tersebut menyebabkan Penang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan mengubah pendekatan permainan.

“Saya setuju kad merah itu ‘merosakkan permainan’ tetapi saya tidak complain pengadil memberikan kad merah.

“Saya lebih melihat kepada tindakan sebelum mendapatkan kad merah itu, apabila hantaran ke belakang menjadi punca Fazli Mazlan terpaksa melakukan demikian kerana jika tidak, kita mungkin bolos.

“Itu adalah professional foul, tetapi kesannya mengganggu perancangan permainan kami apabila terpaksa menunggu di middle block, keadaan itu membuatkan Brunei semakin selesa untuk datang menekan kami,” ujarnya dalam satu sidang media sejurus tamat pelawanan di Stadium Bandaraya di sini.

Pada aksi tersebut, pemain jersi 10 Brunei, Miguel Angelo Agostinho Oliveira menjaringkan gol tunggal pasukan pelawat pada minit ke-64.

4e7a4506 78f5 48ae 9f35 76241e7ba7ba

Bagaimanapun, Wan Rohaimi berkata, Penang  FC masih berupaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol meskipun beraksi dengan kekurangan seorang pemain.

Menurutnya, beberapa percubaan berjaya diselamatkan penjaga gol Brunei, manakala sebahagian lagi gagal menemui sasaran, sekali gus menyebabkan pasukannya kecewa dengan keputusan perlawanan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pasukan Penang FC yang mengalami perubahan pada musim ini tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk membentuk keserasian kerana persiapan selama lapan minggu sudah mencukupi.

“Saya rasa tidak perlu banyak masa kerana bagi saya sudah mencukupi selama lapan minggu kami menyediakan pasukan untuk menghadapi liga musim ini.

“Namun, kadangkala faktor luck juga diperlukan dalam satu-satu perlawanan. Kami memulakan permainan dengan baik untuk menekan Brunei, tetapi apabila bermain dengan kurang seorang pemain di bawah cuaca panas, ia sedikit mengganggu konsentrasi dan mentaliti pemain,” ulasnya lanjut.

Mengenai prestasi pemain import baharu, beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan, namun percaya masih terdapat ruang besar untuk mereka memperbaiki prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

Mengulas mengenai perlawanan seterusnya menentang Sabah FC beliau dengan tegas mahu anak buahnya bangkit semula.

“Kita kena hadap, kita kena terima dan kita kena bangkit untuk mengubah senario yang berlaku musim lalu.

“Walaupun bermain di gelanggang lawan untuk perlawanan seterusnya di Sabah, saya yakin dan saya sudah tekankan kepada pemain-pemain supaya bersedia untuk comeback, untuk bangkit,” katanya.

Gambar: BERNAMA