Lebih 10,000 peserta sertai Let’s Cleanup World 2026

c22609f1 2208 4d75 9836 920bf3b771c7

 

GEORGE TOWN – Lebih 10,000 peserta menyertai program Let’s Cleanup World 2026 anjuran Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang (GREW) bersempena World Cleanup Day 2026 dengan melibatkan penyertaan dari enam negara.

Pengerusi GREW, Khou Jerome berkata, program yang memasuki tahun kelima itu bukan sekadar aktiviti membersihkan kawasan, sebaliknya menjadi platform pendidikan bagi membentuk kesedaran dan perubahan tingkah laku dalam kalangan murid terhadap isu alam sekitar.

“Kita mahu murid bergerak daripada sekadar menyertai aktiviti kepada memahami masalah, menganalisis punca dan seterusnya mengubah tingkah laku.

“Kita mungkin berada di tempat yang berbeza, tetapi kita berkongsi bumi yang sama,” ujarnya menerusi kenyataan media hari ini.

Jelasnya, program tahun ini melibatkan 101 sekolah di Pulau Pinang, 33 sekolah dari lapan negeri lain di Malaysia serta 15 sekolah dari luar negara.

86db801c 736d 46f4 97aa 6acb269a8fea 2a69f96e 37bb 4a4a 97f3 9016dffbcac3

“Sepanjang lima tahun pelaksanaan, Let’s Cleanup World telah menghimpunkan hampir 50,000 guru dan murid, selain mengumpulkan hampir 5,200 kilogram (kg) bahan kitar semula serta membersihkan hampir 8,100 kg sampah.

“Jumlah sampah yang dikutip bukan ukuran sebenar kejayaan program berkenaan.

“Kejayaan sebenar bukan apabila kita berjaya mengutip lebih banyak sampah, tetapi apabila kita kembali ke lokasi yang sama pada tahun hadapan dan mendapati jumlah sampah semakin berkurangan,” maklum beliau.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan sekolah menggunakan data audit sisa yang dikumpulkan setiap tahun bagi mengenal pasti jenis dan punca utama sampah serta membincangkan isu seperti penggunaan plastik sekali guna, tabiat pengguna dan pengurusan alam sekitar dalam komuniti.

Khou Jerome berkata, selepas lima tahun membina kesedaran dan jaringan kerjasama, gerakan tersebut kini perlu beralih daripada sekadar penyertaan kepada usaha menghasilkan impak yang boleh diukur.

“Kami berharap pencapaian terbesar pada masa akan datang bukan sekadar peningkatan jumlah peserta, tetapi kita dapat berkata bahawa tempat ini lebih bersih berbanding tahun lalu, sampah semakin berkurangan dan masyarakat telah mula berubah,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Aimpactz Social Enterprise, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), selain menerima sokongan serta pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Gambar: GREW