Wanita perlu lebih berani tampil sertai arena politik, seru Exco

Admin

Teks dan Gambar : SUNARTI YUSOFF

BUKIT MERTAJAM – Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng menyeru agar lebih ramai anggota Briged Wanita Pulau Pinang tampil menyertai arena politik demi menjaga kepentingan berkaitan golongan Hawa di negara ini.

Beliau berkata, adalah penting bagi golongan wanita untuk mengisi jawatan di peringkat pembuat keputusan agar dasardasar yang menjaga kebajikan golongan wanita dapat digubal.

“Saya ingin tanya, jika bukan kita, siapa akan bela nasib wanita? Siapa yang akan perjuangkan isu-isu kesihatan wanita, hak penjagaan anak-anak selepas bercerai, hak pekerja wanita seperti cuti bersalin serta gaji yang sama rata dengan lelaki dan macam mana dengan nasib golongan wanita dalam kumpulan B40?

“Semua ini hanya boleh berlaku jika kita ada pemimpin wanita yang aktif dan komited serta berani untuk tampil ke depan,” ujarnya ketika merasmikan Konvensyen Briged Wanita Pulau Pinang dekat Dewan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini 25 Mac lalu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita (PWDC), Ong Bee Leng; Ahli Lembaga Pengarah PWDC, Aida Yusof Rawa, Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mengulas lanjut, Chong Eng berkata, Kerajaan Negeri telah menggariskan beberapa dasar bagi menghargai peranan golongan wanita seperti menetapkan supaya setiap JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) mempunyai 30 peratus perwakilan wanita menjelang tahun 2021.

“Dengan sekurang-kurangnya 30 peratus perwakilan, barulah suara wanita akan cukup kuat dan boleh didengar dalam mesyuarat.

“Apabila sesuatu perkara berkaitan dengan kebajikan wanita atau anak-anak dibentangkan, barulah cukup suara wanita
untuk perkara tersebut diberikan keutamaan,” katanya yang juga ADUN Padang Lalang.

Chong Eng dalam pada itu turut menjelaskan bahawa golongan wanita juga merupakan golongan pengundi terbanyak pada pilihan raya umum lalu yang bermakna kuasa demokrasi negara kini terletak di tangan golongan wanita.

“Oleh itu, wanita juga boleh menentukan hala tuju keadaan politik negara kita. Jadi, gunalah ilmu yang ada untuk jadikan wanita sebagai ejen perubahan dan membawa obor pencerahan untuk membina sebuah negara penyayang dan bermaruah,” serunya.