Bayar caj bulanan demi manfaat semua, seru Exco Perumahan

Admin

SUNGAI PINANG – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menyeru semua penduduk pangsapuri di seluruh negeri ini supaya melangsaikan bayaran caj penyelenggaraan demi manfaat semua pihak.

Menurut beliau, hasil kutipan caj penyelenggaraan setiap bulan itu akan digunakan untuk menyelenggara kemudahan awam yang ada.

“Apabila semua orang membayar caj penyelenggaraan, ia bukan sahaja akan memanfaatkan diri kita sendiri, malah juga semua penghuni.

“(Dan) sekiranya ada kemudahan yang perlu diselenggarakan, ia boleh dilaksana dengan kadar segera tanpa perlu bertangguh,” ujarnya ketika hadir menyerahkan surat kelulusan peruntukan bagi penggantian lif di Pangsapuri Taman Dato’ Syed Abbas di sini 24 Mac lalu.

Beliau turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) bersetuju membiayai RM207,217.28 bagi menggantikan satu unit lif di pangsapuri setinggi lapan tingkat itu.

“Di bawah tabung ini (TPM80PP), projekprojek kritikal seperti penggantian lif, bumbung dan tangki, Kerajaan Negeri akan membiayai sehingga 80 peratus daripada kos keseluruhannya.

“Manakala, bakinya ditanggung oleh penduduk…dan sejak diperkenalkan, tabung ini telah memanfaatkan 138 skim perumahan awam dan swasta di negeri ini dengan kos penyelenggaraan mencecah RM55 juta.

“Tabung ini adalah bagi membantu penduduk di skim perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sehingga RM150,000.

“Malangnya, di pihak Kerajaan Pusat meskipun mempunyai TP1M (Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia), cuma 29 daripada 143 permohonan dari Pulau Pinang diluluskan…itupun pada tahun 2016.

“Sejak 2016, tiada kelulusan langsung untuk negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang agak kecewa apabila Pulau Pinang merupakan salah satu negeri pembayar cukai tertinggi dalam negara, namun sering ‘dipinggirkan’.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Sungai Pinang), Lim Siew Khim yang turut sama hadir pada penyerahan surat kelulusan itu juga mengumumkan pembiayaan  RM10,000 bagi meringankan bebanan kewangan persatuan penduduk terbabit.

“Saya difahamkan isu milikan strata di pangsapuri ini hampir selesai setelah lebih 10 tahun menunggu.

“Seperti yang dimaklumkan oleh YB Jagdeep, Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada milikan strata bagi memudahkan transaksi sekiranya memerlukan,” katanya.

Turut sama, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Dato’ Syed Abbas, Sheikh Mujibu Rahman Iilas dan Setiausaha Koperasi Melayu Pulau Pinang, Abdul Ravul Majeed.

Kos keseluruhan penggantian lif adalah RM259,021 dan dijangka disempurnakan sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri Jun ini.