Wanita tunjang utama dalam pembentukan masyarakat dan institusi keluarga – Exco

GEORG TOWN – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng menegaskan peranan wanita hari ini menjadi sangat penting sejajar dengan peredaran zaman.

Katanya, wanita kini menjadi tunjang utama dalam pembentukan masyarakat mahupun institusi kekeluargaan di negara ini.

“Kita ambil contoh dalam keluarga, ibu adalah tunjang utama kepada keluarga yang mana cara ibu mendidik anak-anak lebih mempengaruhi masa depan mereka.

“Jadi tugas ibu juga adalah pemupuk penentuan masa hadapan dan inilah yang dikata ‘kerja berpasukan’ yang perlu ada dalam sesebuah perkahwinan dan keluarga,” ujar beliau ketika berucap merasmikan bengkel Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) anjuran Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) Malaysia dekat Komtar baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi NWCO Malaysia Pulau Pinang, Yeap Meng Chee serta fasilitator dari NCWO Malaysia, Dr. Zaireeni Azmi.

Justeru, Chong Eng menggesa golongan wanita supaya ‘merebut’ kuasa politik bagi mengimbangi kesaksamaan gender dalam membuat keputusan berkaitan sesuatu dasar kerajaan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri pula, kami komited dalam membangunkan agenda ini kerana kami sedar mengenai pentingnya peranan wanita dalam pelbagai sektor termasuk sektor kerajaan, swasta, makanan dan pelancongan dan lain-lain di negeri ini.

“Pelbagai pendekatan digunakan termasuk Bajet Gender Responsif dan Penyertaan (GRPB) bagi mendapatkan pandangan semua golongan terutamanya wanita dalam merangka pembangunan masa depan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

 Difahamkan, bengkel selama satu hari tersebut turut dihadiri oleh 16 pertumbuhan wanita dari seluruh negeri Pulau Pinang.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI