Warden Trafik MBPP tingkat rondaan cegah motosikal guna laluan utama

Admin

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Unit Warden Trafik akan meningkatkan rondaan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan underpass Jalan Udini bagi membendung penggunaan motosikal di laluan kenderaan biasa.

 

Menurut Ahli Majlis bagi MBPP, Ahmad Azrizal Tahir, perkara tersebut telah bermula sejak Januari lalu namun didapati masih ramai pengguna motosikal yagn tidak menggunakan Lorong yang dikhaskan.

 

“Selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 Seksyen 79(2), MBPP akan membuat kawalan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu bagi mengelakkan penggunaan motosikal di laluan utama.

 

“Tujuannya adalah untuk, menglakkan kemalangan berlaku kerana risiko kemalangan di situ amat tinggi tambahan pula kadar penggunaan kenderaan di situ saban hari meningkat.

 

“Selain itu kita juga akan meningkatkan kawalan agar penunggang motosikal tidak menggunakan laluan underpass Jalan Udini, Gelugor ekoran di situ pun kerap kali jadi kemalangan hingga membabitkan kehilangan nyawa,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara dalam satu sidang media tengah hari tadi.

 

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP Mohamed Yusoff Mohamed Noor dan Penolong Pegawai Penguatkuasa, Azizan Md. Desa.

 

 

Justeru, Azrizal yang juga Pengerusi Gantian Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam menasihatkan penunggang motosikal dari Pulau Pinang mahupun dari negeri lain agar akur kepada undang-undang tersebut.

 

“Di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan underpass Jalan Udini motosikal memang tidak boleh lalu laluan utama kecuali ianya ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan,’ jelas Azrizal lagi.

 

Difahamkan bagi kesalahan membabitkan Akta Pengangkutan Jalan 1987, gagal mematuhi isyarat lalu lintas lorong motosikal, pelaku boleh dikompaun dari RM40 ke RM120.

 

Sementara itu, Azizan ketika bercakap kepada Buletin Mutiara memaklumkan, sejumlah 322 saman melibatkan motosikal di kedua-dua laluan tersebut telah dikeluarkan sejak penubuhan warden trafik pada Januari lalu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG