Warga asing diharam menjaja di pasar malam

PAYA TERUBONG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menggempur warga asing yang berniaga secara haram di tapak-tapak pasar malam di kawasan pentadbirannya sekiranya memperoleh maklumat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam MBPP, Ahmad Azrizal Tahir berkata, langkah itu adalah selaras dengan peraturan yang termaktub dalam Undang-undang Kecil Majlis.

“Majlis ingin menegaskan bahawa warga asing tidak dibenarkan sama sekali untuk menjaja di pasar malam, keutamaan ini diberikan kepada penjaja tempatan berstatus warganegara sahaja.

“Jika memperoleh maklumat, kita (Majlis) akan bekerjasama dengan pihak Imigresen untuk membanterasnya,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di tapak pasar malam dekat Halaman Paya Terubong 1, Relau di sini semalam.

Ahmad Tahir yang juga Ahli Majlis MBPP sebelum itu, turun padang bersama-sama beberapa wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melihat sendiri penyusunan baharu tapak pasar malam berkenaan yang sebelum ini menjadi isu.

Jelasnya, pihak Majlis telah menerima aduan berhubung kesesakan lalu lintas yang berpunca daripada aktiviti pasar malam di sini pada setiap hari Sabtu dan Isnin.

“Majlis telah mengarahkan penganjur iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sri Relau untuk menjalankan penyusunan tapak semula di mana penjaja telah diminta untuk pindah ke tengah bagi membenarkan satu laluan (belakang penjaja) dikhaskan untuk kenderaan lalu.

“Keputusan ini telah menyebabkan Majlis ditomah dan dakwaan kita ingin mengarahkan penutupan pasar malam dan menindas bumiputera adalah tidak benar sama sekali.

“Bagi menjelaskan isu ini, satu sesi dialog bersama-sama penjaja (3 Oktober 2019) telah diadaiakan dan pada 18 November satu kajian kepuasan penyusunan tapak pasar malam terhadap peniagaan dan orang awam turut dilakukan, rata-ratanya memberikan respons positif.

“Menjadi hasrat Majlis untuk memastikan semua aktiviti yang berkaitan dengan pasar malam diuruskan dengan baik dan tidak mendatangkan kacau ganggu kepada masyarakat setempat,” jelas beliau.

Teks dan Gambar : NORSHAHIDA YUSOFF