Waspada terhadap individu menyamar sebagai kakitangan Bahagian Perumahan & PDC tawar bantuan miliki hartanah – Rayer

RSN Rayer (dua dari kiri, hadapan) bersama sebahagian mangsa dipercayai ditipu oleh sepasang suami isteri menunjukkan laporan polis dan gambar suspek di Pusat Khidmatnya baru-baru ini.

SUNGAI PINANG – Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati jika didatangi mana-mana individu yang menyamar sebagai kakitangan dari Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri atau Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan menawarkan bantuan untuk mendapatkan hartanah milik Kerajaan Negeri.

Gesaan tersebut dibuat Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer pada satu sidang media baru-baru ini bagi membongkar kes penipuan sepasang suami isteri yang dipercayai telah memperdaya lebih 10 mangsa berkaitan pemilikan rumah dan lot kedai.

Katanya, jika mana-mana individu yang ingin membeli mana-mana hartanah seperti rumah, lot kedai dan sebagainya, mereka boleh terus datang ke pejabat kerajaan yng menguruskan pembelian tersebut.

Saya tidak mahu lagi orang awam tertipu dengan individu macam ini, jadi ia perlu diuar-uarkan agar orang ramai lebih peka, berhati-hati dan tidak lagi tertipu dengan individu-individu tidak bertanggungjawab seperti ini.

Saya gesa pihak PDRM (Polis DiRaja Malaysia) Cawangan Jenayah Komersial untuk ambil tindakan dan tuduh suspek (di mahkamah) yang dipercayai menggunakan nama Azlina bersama suaminya Mohamed Yusof.

Kalau tidak (tangkap) beliau ini ada risiko untuk loloskan diri dan saya bersedia pertahankan anda (mangsa) semua,” tegas Rayer.

Melalui keterangan yang diperolehi, Rayer memaklumkan kerugian kesemua mangsa terbabit dianggarkan sebanyak RM500,000.

Melalui maklumat dari mangsa-mangsa berkenaan, suspek dikatakan sangat licik memalsukan dokumen seperti slip transaksi, surat jual beli dan pelbagai dokumen lain termasuk cek palsu bagi meyakinkan mangsa-mangsanya,” ujarnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim.

Dalam perkembangan lain pada sidang media yang sama, Rayer turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Rahman Syed Mohamed, 49, ekoran keberaniannya menyelamatkan seorang warga emas dari cubaan membunuh diri dekat flat Sri Wonder, Sungai Pinang baru-baru ini.

RAHMAN (tengah) yang merupakan seorang peniaga dianugerahkan sijil penghargaan daripada RSN Rayer baru-baru ini.

Menurut Rahman, walaupun tindakannya itu mengundang pelbagai risiko namun niatnya hanya satu iaitu untuk menyelamatkan warga emas tersebut daripada terjun dari tingkat 10 flat berkenaan.

Saya dengar bunyi bising di luar rumah, bila keluar saya tengok seorang uncle berdiri atas tembok nak terjun… jadi apabila tengok orang ramai dah tarik perhatian dia, saya cepat-cepat menarik lutut mangsa hingga dia terjatuh atas saya tetapi syukur dia berjaya diselamatkan.

Saya difahamkan mangsa rasa tertekan akibat dari penyakit yang beliau hidapi, jadi nekad nak bunuh diri,” jelas Rahman mengenai kejadian yang berlaku pada 2 Oktober lalu, jam 2 pagi yang tular melalui video di media sosial.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ALISSALA THIAN