Wawancara Eksklusif bersama Datuk Bandar MBSP : 15 Pelan Pemulihan Ekonomi untuk warga Seberang Perai

PERINTAH Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0) yang berakhir pada esok, dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 18 Februari 2021 dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Sempena pengumuman itu, Buletin Mutiara pada pagi ini mendapatkan komentar lanjut daripada Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud berhubung langkah-langkah pengawalan kesihatan awam yang dilaksanakan di seluruh Seberang Perai, demi melandaikan semula keluk perebakan wabak COVID-19 semasa ini.

Menerusi wawancara eksklusif, Rozali memberitahu bahawa Pasukan Kerja COVID-19 dikenali sebagai Crisis Management Task Force yang ditubuhkan pada 18 Mac 2020 iaitu serentak dengan pengisytiharan PKP kali pertama diumumkan sebelum ini, akan terus mendapatkan maklum balas daripada penduduk Seberang Perai demi memantapkan lagi penyusunan SOP sedia ada.

“Seramai 3,091 orang Wira Oren Barisan Hadapan diturunkan sepenuh masa bagi menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan kepatuhan SOP COVID-19 merangkumi kawalan di pasar-pasar awam, kompleks makanan, premis perniagaan, industri, taman rekreasi dan premis awam pada setiap hari termasuk Ahad dan cuti umum.

“(Dan) dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta kerjasama penduduk Seberang Perai telah menghasilkan pencapaian pematuhan yang cemerlang iaitu melebihi 98 peratus sejak PKP (1.0) diisytiharkan,” jelasnya kepada wartawan, ZAINULFAQAR YAACOB pada 3 Februari 2021.

Selain itu, Rozali memberitahu bahawa MBSP akan memanfaatkan Seberang Perai City Channel (SPCC) yang ditubuhkan sebelum ini, iaitu platform perbincangan secara dalam talian menerusi Facebook, YouTube dan Instagram.

“Program ini diadakan setiap minggu, memberi ruang kepada warga Seberang Perai untuk berinteraksi dengan Datuk Bandar secara langsung serta mendengar rintihan mereka,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan atas inovasi persembahan yang dilakukan oleh Unit Media dan Protokol pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Sehingga kini, menurutnya lagi, SPCC mendapat sambutan hangat setiap kali disiarkan dengan jumlah penonton antara 10,000 hingga 350,000 orang.

Program Rangsangan Ekonomi Rakyat

Di samping itu, Rozali menjelaskan bahawa sejak PKP 1.0 lagi pentadbirannya telah melancarkan 15 Pelan Pemulihan Ekonomi demi merancakkan ekonomi penduduk Seberang Perai, antaranya;

•  Pengeluaran serta-merta lesen premis dan iklan (yang tidak berisiko dalam skim), lesen penjaja dan lesen veterinar. Usaha ini telah meningkatkan pengeluran lesen tersebut sebanyak 6 peratus (bersih) iaitu 61,474 lesen pada tahun 2020 berbanding 2019 (57,829).

•. Menyediakan 25 lokasi penjaja baharu untuk membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).

•  Mengeluarkan lesen bertempoh kepada kilang dan premis perniagaan demi memudahkan operasi pihak berkenaan.

•  Pemberian kebenaran mula kerja pembinaan (COW) sebelum pelan bangunan diluluskan dengan syarat pelan kebenaran merancang, pelan kerja tanah telah diluluskan, selain pelan bangunan telah dikemukakan untuk dipertimbangkan. Tujuannya demi merancakkan lagi industri pembinaan.

• Mempercepat keputusan Permohonan Kebenaran Merancang dalam tempoh 71 hari berbanding 108 hari sebelum PKP 1.0.

•  Mempercepatkan kelulusan pembangunan yang menggunakan 15 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE), pembangunan industri sesebuah dan berkembar dalam kawasan industri, pembinaan hotel bajet, tempat mencuci kereta manual dan rumah kediaman sesebuah.

•  Menyediakan garis panduan penyediaan 40 peratus rumah kos sederhana rendah di lima kawasan tanah bernilai tinggi iaitu Butterworth, Perai, Bukit Mertajam, Batu Kawan dan Nibong Tebal.

•. Menggunakan peruntukan MSBP untuk projek penarafan Kompleks Makanan Taman Sentosa bernilai RM2 juta; Pasar Awam Jalan Jeti Lama (RM4 juta sebagaimana dalam bajet 2021), serta penyediaan tapak kendera saji (food trucks). Itu, tidak termasuk RM1.4 juta kelulusan peruntukan Kerajaan Negeri untuk projek penarafan Pasar Awam Mak Mandin. MBSP turut sedang menyediakan pelan konsep untuk menaik taraf Pasar Awam Bukit Mertajam.

•  Melaksanakan fasa pertama projek penarafan Robina Ecopark di Teluk Air Tawar dengan kos RM1.46 juta, disusuli fasa kedua projek penarafan dengan RM2 juta daripada peruntukan Kerajaan Kerajaan Negeri untuk penyediaan kemudahan ruang niaga serta tapak kendera saji (food trucks).

•  Pemberian diskaun 20 peratus kepada pemilik papan iklan untuk membayar tunggakan lesen 2020 pada bulan September hingga Disember 2020, dan dilanjutkan untuk pembaharuan lesen 2021.

•  Mempertimbang permohonan tukar guna premis kediaman kepada premis perniagaan di kawasan terpilih.

•  Melaksanakan pemberian 10 peratus diskaun harga siling rumah mampu milik iaitu C3- RM225,000 bagi keluasan lantai 900 kaki persegi; C2- RM180,000 bagi keluasan lantai 850 kaki persegi; dan C1- RM135,000 bagi keluasan lantai 800,000 kaki persegi.

•  Memberi diskaun 20 peratus bagi bayaran sumbangan pembangunan tertentu.

•  Pemberian hadiah wang tunai bagi cabutan bertuah promosi bayaran cukai taksiran 2021. Cabutan akan dibuat pada bulan Mac 2021, pembayar yang bertuah akan membawa pulang hadiah pertama RM10,000; hadiah kedua (RM5,000), hadiah ketiga (RM3,000), hadiah keempat (RM2,000), hadiah kelima hingga ke-10 (RM1,000 setiap akaun), serta 30 hadiah lain berupa peralatan (sukan dan rekreasi, telekomunikasi, barang elektrik dan perkakasan rumah), dan;

•  Pemegang lesen premis dan iklan, lesen peniaga dan lesen veterinar yang membayar fi lesen mereka sebelum 28 Februari 2021 diberi peluang menyertai Cabutan Bertuah 2021.

“Sehingga 28 Januari 2021, sebanyak 14,339 akaun telah layak untuk menyertai cabutan bertuah pada kali ini.

“Sepanjang tempoh promosi bermula pada 1 Disember 2020 sehingga 28 Januari 2021, jumlah kutipan berkaitan cukai yang telah dipungut oleh MBSP adalah sebanyak RM30.63 juta.

“Walau bagaimanapun, jumlah kutipan ini adalah 10 peratus kurang daripada kutipan dalam tempoh yang sama tahun 2020.

“Cukai taksiran merupakan tanggungjawab berkanun ke atas penduduk untuk dijelaskan (yang mana hasil) kutipan tersebut digunakan untuk memberi perkhidmatan perbandaran kepada warga Seberang Perai,” jelasnya lagi.

Ikuti Bahagian Kedua Wawancara Eksklusif bersama Datuk Bandar MBSP, esok!