Wira disanjung…

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Seramai 10 keluarga terdiri daripada balu dan waris wira negara yang terkorban ketika bertugas di Ops Daulat, Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu masing-masing menerima sumbangan bernilai RM30,000 daripada Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Majlis penyampaian sumbangan keseluruhan berjumlah RM300,000 disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Panglima Dua Divisyen Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Shukri Ahmad, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggantikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang tidak dapat hadir.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Eng ketika berucap melahirkan rasa simpati dan takziah rakyat Pulau Pinang kepada keluarga dan waris anggota keselamatan negara yang terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman pengganas.

“Meskipun mereka yang terkorban bukanlah berasal dari Pulau Pinang, tetapi ia bukanlah alasan Kerajaan Negeri menolak untuk berdiri teguh dan menyokong penuh semangat anggota-anggota keselamatan negara yang sentiasa bersiap siaga mempertahankan negara.

“Tanpa mengira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, samada dari Pulau Pinang ataupun Sabah, kita semua adalah rakyat Malaysia yang bersatu hati mempertahankan kedaulatan negara sehabis yang mungkin,” katanya pada Majlis Penghormatan dan Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Wira-wira Negara di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, barisan kepimpinan negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Februari lalu, seramai 10 pegawaipegawai serta anggota-anggota keselamatan negara terkorban dalam Ops Daulat bagi mempertahankan negara daripada pencerobohan.

Antara mangsa-mangsa terkorban adalah Asisten Supritenden (ASP) Zulkifli Mamat, 29, dari pasukan Komando PDRM (VAT 69); Sarjan Sabaruddin Daud, 46, (VAT 69); ASP Michael Padel, 36, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Samporna, Sabah; Asisten Komisioner (ACP) Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman PDRM; Sarjan Abdul Azis Sarikon, 48, dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Tawau; Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27, dari PGA, Tawau; Sarjan Detektif Baharin Hamit, 49, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah; Koperal Salam Tugiran, 42, dari IPD Tawau; Prebet Ahmad Hurairah,  24, dari Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Tawau dan Prebet Ahmad Farhan Ruslan, 21, dari RAMD Kota Kinabalu.

Tambah Guan Eng, pencerobohan pengganas di Lahad Datu menjadi realiti sejarah yang menyedarkan kita tentang erti kedaulatan negara, malah, bait-bait lagu Negaraku bukan sekadar untuk dihayati tetapi dibuktikan dengan tindakan dan pengorbanan.

Dalam pada itu, Dr. Ahmad Zahid menzahirkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menghargai perjuangan wira-wira negara yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan negara.

“Sesungguhnya usaha sebegini wajar dipuji supaya kita bersama-sama mengambil pendekatan yang sama sejajar tanpa mengira perbezaan dan latar belakang fahaman politik, dengan semangat perpaduan yang disemai dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sebagai tanda solidariti dan persahabatan yang seharusnya terjalin antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, saya percaya kerjasama sebegini dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap usaha-usaha kepimpinan negara terutama dalam isu keselamatan negara,” ucap beliau di hadapan kira-kira 300 tetamu yang hadir di perkarangan Dewan Bandaraya di sini.