‘Wira tak disanjung’ Skuad 3D dihargai KN

Admin
AR. Patahiyah Ismail (kiri sekali) ceria sambil ditemani Farizan Darus (kanan sekali) dan Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing Thye.
AR. Patahiyah Ismail (kiri sekali) ceria sambil
ditemani Farizan Darus (kanan sekali) dan
Setiausaha Perbandaran MPPP, Ir. Ang Aing
Thye.

GEORGE TOWN“Saya begitu terkejut dan terharu apabila dimaklumkan pegawai atasan untuk ke pejabat Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi mengambil surat penerimaan anugerah. Saya tidak pernah menyangka akan dihargai sebegini rupa,’’ kata Abdul Ghani Chik, 54, yang merupakan salah seorang Pekerja Am MPPP yang menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) sempena Sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Bagi bapa kepada enam cahaya mata yang telah 33 tahun berkhidmat dengan MPPP, pengiktirafan khas oleh Kerajaan Negeri tersebut merupakan kali pertama diterima beliau.

“Saya tidak sangka dan terharu,’’ katanya ketika ditemui Buletin Mutiara (BM) di sini baru-baru ini.

Malah, sehari selepas majlis penerimaan anugerah, Abdul Ghani yang berkhidmat di dalam Skuad 3D iaitu ‘Difficult’, ‘Dirty’ & ‘Dangerous’ (Sukar, Kotor dan Bahaya) MPPP bersama rakan sepasukan lain kelihatan sedang bertungkus-lumus mengeluarkan sampah dari laluan longkang di Jalan Kapitan Keling.

“Masih ramai orang yang bertindak membuang sampah ke dalam longkang sehingga menyebabkan ia tersumbat,’’ ujarnya.

Sesi temubual bersama dua penerima pingat sama, Soon Beng Ee, 58, dan C. Ganesan, 55, dilakukan ketika kedua-dua mereka sedang ‘bersembunyi’ di dalam longkang Pulau Tikus untuk kerja-kerja pemotongan rumput.

“Sekiranya kami tidak lakukannya, rumput-rumput yang tumbuh akan menyebabkan saluran longkang tersumbat. Kami bukan hanya buat kerja di atas longkang sahaja.

“Di Pulau Tikus, empat hingga lima pekerja yang bertugas bagi memastikan dua tandas dan pasar awam berada dalam keadaan bersih. Malah, kami juga perlu ‘menjaga’ kawasan Gurney yang mana kadang-kala perlu ‘membersihkan’ bangkai haiwan yang dibawa ke persisir pantai,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Che Harun Che Min, 53, yang merupakan Skuad 3D Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyatakan bahawa beliau gembira dan penganugerahan tersebut bakal menjadi perangsang kepadanya untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

“Saya bekerja seperti biasa dan sentiasa mengikut arahan yang diberikan pihak atasan.

“Saya telah mencurahkan bakti selama 32 tahun dan ini merupakan anugerah yang berbaloi dalam perjalanan hidup saya,’’’ jelasnya sambil menyatakan bahawa kejayaan beliau adalah berkat doa dan sokongan isteri serta anakanak.

Seramai 21 pekerja am pihak berkuasa tempatan (PBT) telah dianugerahkan Pingat Jasa Masyarakat (PJM) sempena sambutan ulang tahun ke-74 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di sini baru-baru ini.

Anugerah tersebut adalah insiatif khas Kerajaan Negeri dalam menghargai jasa dan bakti ‘wira tidak disanjung’ terbabit.

ISTERI kepada TYT, Toh Puan Majimor Shariff (kiri sekali) bergambar bersama-sama isteri-isteri pucuk pimpinan negeri.
ISTERI kepada TYT, Toh Puan Majimor Shariff (kiri
sekali) bergambar bersama-sama isteri-isteri pucuk
pimpinan negeri.