Sasar 5 juta pelancong menjelang 2014

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN BARU – Pulau Pinang menyasarkan seramai 5 juta pelancong yang bakal melancong ke negeri Pulau Pinang menjelang tahun 2014.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Lim Guan Eng ekoran statistik Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) yang mencatatkan peningkatan pelancong dari 10 peratus kepada 48 peratus bagi tahun 2010 dan 2011. Selain pelancong Singapura, Indonesia dan China, turut tersenarai adalah dari Amerika Syarikat serta Jepun.

“Ekoran peningkatan tersebut, kapasiti LTABL juga sedang dipertingkatkan melalui kerja-kerja pembesaran lapangan terbang membabitkan tujuh fasa.

“Justeru, saya amat berharap fasa yang dijalankan kini adalah ‘fasa terakhir’ dan dapat disiapkan sepenuhnya pada tarikh dijangka iaitu pada November nanti. Harap ia adalah yang terakhir kerana ‘kita’ sudah penat menunggu,’’ katanya ketika merasmikan Penang International Travel Mart 2012 di sini baru-baru ini.

Bersempena penganjuran tersebut, sebanyak 50 agen, pembeli, dan wakil media dari 13 negara seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, India, Australia dan Sweden terlibat dalam penganjuran berkenaan.

Turut hadir, Exco Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan, Law Heng Kiang.

Dalam pada itu, Guan Eng memberitahu, selepas diiktiraf sebagai Bandar Warisan (George Town) oleh UNESCO, Pulau Pinang telah dikenali sebagai bandar pelancongan dan lanjutan itu, kerja baik pulih telah dilakukan pada struktur bangunan untuk dijadikan hotel, restoran serta butik.

Tambahnya, CNN turut menyenaraikan makanan tradisi Pulau Mutiara, Asam Laksa sebagai antara tujuh makanan paling sedap di dunia. Malah, Yahoo Travel menyenaraikan Pulau Pinang antara ‘10 pulau yang wajib dikunjungi sebelum anda mati’.

SEBAHAGIAN wakil delegasi menunjukkan replika feri yang diterima daripada Kerajaan Negeri sempena penganjuran Penang International Travel Mart 2012.
SEBAHAGIAN wakil delegasi menunjukkan
replika feri yang diterima daripada Kerajaan
Negeri sempena penganjuran Penang
International Travel Mart 2012.