‘World #QuranHour’, pupuk kerangka berfikir Al-Quran dalam kalangan umat Islam

Admin

BERTAM – Penganjuran program Sejam Dunia Bersama Al-Quran di Masjid Abdullah Fahim dekat Kepala Batas sempena sambutan Nuzul Al-Quran dapat menyemarakkan lagi penghayatan umat terhadap cara hidup sebenar yang dianjurkan oleh agama Islam.

Pegawai Khas, Ustaz Rosidi Hussain berkata demikian ketika membaca teks ucapan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dalam acara perasmian program tahunan tersebut pagi tadi.

“Program ‘World #QuranHour’ merupakan usaha menjadikan nilai-nilai mulia daripada Al-Quran membentuk jiwa berbudi dan penyayang sehingga menjadi cara hidup seharian setiap insan.

“Kempen ini merupakan suatu inspirasi masyarakat untuk melonjak potensi diri berlandaskan sistem operasi Al-Quran dan kerangka berfikir Al-Quran,” ujarnya.

Menerusi kempen tersebut, beliau berharap tiap-tiap mukallaf sekurang-kurangnya meluangkan masa berinteraksi dengan Al-Quran selama sejam dalam sehari sepanjang tahun ini.

Difahamkan, program yang diadakan bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan ini turut diadakan serentak di lebih 2,000 lokasi berdaftar dalam negara dan juga di 27 negara luar.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD