Pulau Pinang fokus kurangkan 10 peratus kadar kemalangan maut di jalan raya setiap tahun

Admin

SUNGAI DUA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melaksanakan pelbagai usaha bagi mencapai sasaran untuk mengurangkan 10 peratus kadar kemalangan maut di jalan raya di negeri ini setiap tahun.

Jelasnya, pelbagai kempen keselamatan dilaksanakan melalui Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya oleh Kerajaan Negeri khususnya pada musim perayaan bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai isu keselamatan jalan raya.

“Mengurangkan kadar kemalangan maut dan kecederaan parah adalah menjadi keutamaan Kerajaan Negeri buat masa ini bagi memastikan jalan raya yang digunakan setiap hari adalah selamat kepada pengguna.

Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyerahkan topi keledar kepada salah seorang penunggang motosikal sempena Majlis Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri dekat Stesen Minyak Shell, semalam.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif dengan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan kesedaran kepada pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati hak-hak pengguna yang lain.

“Selain itu, kita juga berharap agar pihak Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) terus berusaha bagi memastikan kadar kemalangan maut di jalan raya dapat dikurangkan pada setiap tahun,” katanya semasa merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri dekat Stesen Minyak Shell, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Dato’ Azhar Arshad; Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ir. Rosnani Mahmod; Pengarah JKJR Pulau Pinang M. Thurkahthevi dan Ketua-Ketua Jabatan berkaitan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin menjelaskan bahawa peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya khususnya pada musim perayaan menyebabkan berlakunya kesesakan sekaligus meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

“Walau bagaimanapun, saya difahamkan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menjalankan Ops Selamat bermula 29 Mei hingga 12 Jun ini.

“Saya juga berharap agar pihak PDRM dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) sentiasa berganding bahu dalam melaksanakan Ops Selamat dan Ops Bersepadu yang diadakan sebanyak empat kali setahun pada musim perayaan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS