Yayasan Food Bank Malaysia manfaat 311,189 isi rumah seluruh negara sejak dilancar

Admin

PANTAI JEREJAK – Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, projek perintis Mutiara Food Bank telah berjaya memanfaatkan seramai 41,227 penerima di seluruh negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan ia juga telah berjaya menyelamatkan sebanyak 412 tan makanan daripada dibazirkan.

Jelasnya, program tersebut bertindak sebagai satu usaha mengurangkan pembaziran dan platform untuk menyelamatkan lebihan makanan daripada berakhir di pusat pelupusan sampah yang direkodkan sebanyak 16,000 tan (makanan) sehari dibuang.

“Daripada jumlah (16,000 tan) tersebut, 3,000 tan adalah makanan yang masih berkualiti dan selamat untuk dimakan.

“Visi Penang2030 yang dilancarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan sebuah pelan tindakan yang turut menumpukan kepada pembangunan daya huni, menaik taraf ekonomi, meningkatkan penyertaan rakyat serta pembangunan yang seimbang bagi mencapai sebuah negeri berorientasikan ‘Kekeluargaan, Bandar Hijau dan Pintar.

“Ia adalah visi untuk meningkatkan momentum negeri untuk sentiasa berada di hadapan sebagai sebuah negeri yang menjadi inspirasi kepada negara seiring dengan perubahan besar di Malaysia, ini dibuktikan apabila Pulau Pinang merupakan negeri pertama (dalam negara) yang melaksanakan program ‘Food Bank’ ini,” ucap beliau di Majlis Pelancaran Yayasan Food Bank Malaysia anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dekat sini sebentar tadi.

Hadir merasmikan majlis, Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (Timbalan Ketua Menteri I); Phee Boon Poh (Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi Mutiara Food Bank); Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri KPDNHEP) dan Datuk Muez Abd. Aziz (Ketua Setiausaha KPDNHEP) hadir sama.

Serentak itu, majlis turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara Yayasan Food Bank Malaysia dengan rakan-rakan strategik.

Yayasan Food Bank Malaysia menerima keseluruhan sumbangan sebanyak RM1,500,000 daripada para penyumbang.

Wan Azizah ketika menyampaikan ucaptama memberitahu bahawa sebagai langkah melindungi penderma dan penerima program ‘Food Bank’, KPDNHEP dijangka akan membentangkan undang-undang berkonsepkan ‘Good Samaritan Law’ di Parlimen pada hujung tahun ini.

“Bagi meluaskan program berkaitan, Yayasan Food Bank Malaysia telah diperbadankan pada 7 Januari lalu.

“Yayasan ini akan bertindak menyelaras perkembangan serta pelaksanaan program ini di dalam negara, malah undang-undang yang akan dibentangkan tidak lama lagi bakal melindungi penderma dan para penerima yang kini mencecah 311,189 isi rumah sehingga Ogos lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menyatakan bahawa Yayasan Food Bank Malaysia berkonsepkan ‘Doktrin Fajr’ iaitu pembangunan masyarakat memerlukan gandingan tiga pihak iaitu kerajaan, sektor swasta dan watak-watak bukan kerajaan (non-state actors).

“Kejayaan usaha ‘Food Bank’ ini bergantung kepada sektor swasta dalam memberi lebihan makanan kepada organisasi ‘Food Bank’.

“Rakan-rakan strategik yayasan terdiri daripada Food Aid Foundation, Mutiara Food Bank, Kechara dan Lost Food adalah watak-watak bukan kerajaan yang merupakan wadah pemberdayaan rakyat dalam mendukung usaha ini,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : DARWIN MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI