AIR ITAM – Sempena menyambut Hari Natal yang kian kunjung tiba, Yayasan PETRONAS hari ini mengagihkan pek barangan keperluan makanan kepada penerima terpilih.
Antaranya adalah 65 pek di Little Sisters of the Poor Home; Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Barat Daya (50) dan PKMD Timur Laut (33).

Semasa berucap, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa program amal tersebut adalah selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri hari ini yang cakna kebajikan rakyat terutama mereka daripada kelompok isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40).
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh dasar kebajikan ini dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat, selaras dengan gagasan Visi Penang2030 dan Malaysia Madani,” jelasnya dalam Program Yayasan PETRONAS Memacu Kehidupan Krismas 2025 di Little Sisters of the Poor Home dekat sini pada 13 Disember 2025.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa Kerjaaan Negeri dalam tempoh bulan Januari hingga Julai tahun ini telah menyalurkan sebanyak RM53.83 juta kepada 285,816 penerima, merangkumi pelbagai kategori bantuan di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 program i-Sejahtera.
Daripada jumlah itu, menurut Kon Yeow bahawa sejumlah RM41,987,600 telah disalurkan kepada 209,938 penerima Penghargaan Warga Emas; Bantuan Ibu Tunggal (10,644 penerima, RM1,064,400); Penghargaan Suri Emas (44,231 penerima, RM4,423,100); Bantuan Orang Kurang Upaya (15,608 penerima, RM3,121,600).
“Bantuan Anak Emas secara sekali beri pula melibatkan 2,700 penerima berjumlah RM540,200 dan Khairat Kematian (one-off) telah diserahkan kepada 2,695 penerima dengan nilai keseluruhan RM2,695,000,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Berucap sebelum itu, Naib Presiden dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani memberitahu bahawa dalam tahun ini sahaja, kira-kira 3,000 keluarga terpilih telah dibantu melalui Yayasan Petronas.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : ALISSSALA THIAN