YIPP komited realisasikan Visi Penang2030

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow petang ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pentadbir Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Mohd. Fitri Ibrahim serta Muhammad Syauqi A. Rahim (Pengurus Bahagian Pembangunan Insan YIPP) di pejabatnya dekat Komtar.

Pada pertemuan tersebut, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi diberi taklimat mengenai dua program teras yang sedang dilaksana oleh agensi negeri tersebut.

Menurut Mohd. Fitri, YIPP sejak sejak dua tahun tahun lepas berjaya melaksanakan acara komuniti #PulauPinangMengajar dengan penglibatan 250 sukarelawan dan 181 pelajar terpilih dari beberapa kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negeri ini.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa YIPP pada tempoh sama juga diberi peranan tambahan untuk menjayakan program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Menengah di negeri ini.

MOHD. Fitri Ibrahim

“Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ‘KAFA Menengah’ secara bersemuka telah dilaksanakan di tiga masjid terpilih membabitkan Daerah Seberang Perai Utara, semasa PKP sesi pembelajaran secara dalam talian, dan, dalam perancangan YIPP untuk dilaksanakan dekat kelima-lima daerah di negeri ini.

“Serentak itu, YIPP turut komited merealisasikan Visi Penang2030 iaitu untuk meningkatkan daya huni serta kualiti hidup rakyat terutama anak-anak terpilih di kawasan perumahan PPR,” jelasnya.

Di samping itu, Mohd. Fitri turut memaklumkan mengenai acara mega agensi negeri tersebut untuk menganjurkan Dialog Islam Antarabangsa YIPP 2021 yang dijadual pada bulan Julai ini.

“Ucaptama dalam dialog tersebut akan disampaikan oleh Prof. Dr. Ahmad Al Raysuni iaitu Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa,” ujarnya sambil memohon sokongan langsung Kerajaan Negeri demi menjadikan Pulau Pinang sebagai hub cendekiawan Islam serantau.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN