Zairil serah 350 baucar kelengkapan persekolahan, belanja RM40,250

TANJUNG BUNGA – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari menyampaikan baucar kelengkapan persekolahan kepada 350 pelajar terpilih di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Tanjung Bunga.
 
Ketika berucap, beliau berharap inisiatif bantuan tersebut dapat mengurangkan lagi beban ibu bapa daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah di bawah 40 peratus paling rendah (B40) dalam membuat persiapan anak-anak sebelum musim persekolahan dibuka pada awal tahun depan.
 
“Tujuan pemberian baucar ini adalah untuk meringankan beban ibu bapa menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka. 
 
“Keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM40,250,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga di sini baru-baru ini.
 
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kesemua sembilan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) KADUN Tanjung Bunga yang menjayakan acara pemberian bantuan kepada pelajar atau warisan pelajar terpilih berkenaan. 
 
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 
Gambar: PEJABAT EXCO