Ziarah Kasih Ramadan kuasakan komuniti desa – Afif

Admin

SEBERANG JAYA – Lebih 30 komuniti setempat bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin menganjurkan program Ziarah Kasih Ramadan dengan membaikpulih rumah seorang warga emas dikenali sebagai Nenek Halijah, 71, serta menziarahi beberapa keluarga terpilih dekat Kampung Pertama di sini baru-baru ini.

Pengarah penganjur, Amir Md. Ghazali memberitahu, program tersebut dianjurkan menggunakan sumbangan komuniti serta peruntukan Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjumlah RM3,000.

“Dalam rekod kita, Nenek Halijah tinggal dengan cucunya, adik Hafiz, iaitu seorang OKU (orang kurang upaya).

“Maka, kita pilih untuk baiki struktur fizikal rumah ini, seperti bumbung, dinding serta kerja-kerja mengecat semula sempena menyambut bulan Ramadan,” ujarnya yang juga bekas Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Pertama turut menyertai program tersebut.

Dr. Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan pula memberitahu, program Ziarah Kasih Ramadan tersebut wajar diteruskan kelak demi memperkuasa komuniti atas semangat kejiranan, khususnya di luar bandar.

“Program seumpama ini wajar diteruskan kerana ia kuatkan komuniti kejiranan khususnya di kampung-kampung dan desa-desa,” ujar beliau.

Selain kerja-kerja membaiki rumah Nenek Halijah, Afif, Amir serta sukarelawan komuniti Permatang Pauh lain turut melakukan ziarah mesra beberapa keluarga terpilih di sini.