Cipta robot mirip ‘R2-D2’ Star Wars jadi johan dunia

Admin

GEORGE TOWN – Reka cipta robot mirip ‘R2-D2’ dalam filem fiksyen terkenal Star Wars akhirnya melayakkan empat mahasiswa INTI International College Penang (INTI) dipilih sebagai johan pertandingan antarabangsa Laureate Award for Excellence in Robotic Engineering di Sepanyol baru-baru ini.

Mereka, Toh Yi Feng, 21, Chung Soon Zhi, 21, Koh Kah Seng, 20, dan Lee Joo Han, 22, di bawah guru penasihat, Bryan Chong Fook Lim, 51.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam satu majlis sumbangan menyampaikan sijil penghargaan Kerajaan Negeri kepada mereka sebagai menghargai bakat anak Pulau Pinang terbabit.

“Ini, contoh bakat yang ada di Pulau Pinang dalam (bidang) reka cipta robot,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, pencapaian dari kolej swasta berkenaan sekaligus mengharumkan nama Pulau Pinang di peringkat antarabangsa.

Difahamkan, projek johan tersebut dikenali sebagai MEGA-01 Mobile Enchance Guider Android. 

Pasukan bakat terbabit menghantar proposal projek tersebut kepada penganjur, Laureate International Universities pada Disember tahun lepas.

Projek mereka diumum masuk saringan akhir antarabangsa itu pada Februari lepas, sebelum, diumumkan johan kejohanan yang berlangsung pada 23 hingga 25 April baru-baru ini.