Zon Jelapang Padi Sungai Acheh, Sungai Chenaam sebagai lokasi agropelancongan

Admin
GOH Choon Aik (depan) merakamkan gambar dengan tiga individu yang menjadi antara ‘tulang belakang’ di sebalik ‘jelapang padi’ Sungai Acheh di sini.

DAERAH Seberang Perai Selatan (SPS) juga mempunyai jelapang padi yang begitu luas dekat Sungai Acheh dan Sungai Chenaam.

 

Sehingga kini, di sini masih boleh menuai padi dua kali dalam setahun, tidak seperti di negeri-negeri lain yang menghadapi pelbagai masalah meruncing seperti musim kemarau yang panjang.

ABDUL Halim Din menunjukkan contoh tangkai padi yang ‘berisi penuh’ di Jelapang Padi Sungai Acheh.

Demikian perkongsian ABDUL HALIM DIN, 64, yang merupakan Ketua Unit Kampung Sungai Tongkang, Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Acheh ketika ditemui baru-baru ini.

 

“Macam tahun ini (2021), tengok kepada keadaan, okay sebab masalah cuaca…kan.

 

“Kita buat padi, setahun dua kali (iaitu) bermula dengan ‘serak’ (tanam benih secara tabur terus) pada akhir bulan Mac dan awal bulan April.

 

“Jangka masa antara ‘serak’ padi dan menuai adalah antara 100 hari hingga 120 hari, bergantung kepada jenis padi yang diserak.

 

“Buat bendang ini, masa perlu air, air kena cukup, alhamdulillah elok.

 

“Tetapi, semasa proses pendebungaan, kalau kerap hujan, mungkin banyak padi luruh, jadi, daripada kualiti hasil padi jadi kurang cantik,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS baru-baru ini.

 

ABDUL Halim Din

Pun begitu, Abdul Halim memberitahu bahawa di sekitar Kampung Chenaam dan Sungai Acheh ketika ini payah untuk mencari tuan tanah yang mahu menyewakan tanah mereka bagi tujuan penanaman padi.

 

Ada pelbagai faktor, tambah beliau, antaranya adalah rata-rata pesawah berasa begitu berbaloi mengerjakan tanah bendang masing-masing berbanding menyewakannya kepada orang lain.

 

“Kalau per hektar, di kawasan ini, boleh dapat hasil kasar menuai (padi) dalam enam hingga lapan tan (bagi satu-satu musim) dengan syarat pesawah kena rajin.

 

“Semasa kena membaja, baja; semasa kena ‘merumput’ (meracun), kena racun ikut masa yang tetap serta kesesuaian jenis racun juga kena tepat.

 

“Petani di Sungai Acheh ini ada yang mengusahakan padi sampai 10 hektar dan ada juga yang mengusahakan setengah hektar sahaja, mengikut keluasan tanah yang mereka miliki.

 

“Macam saya, mengusahakan kira-kira empat relung (menyamai kira-kira) empat hektar,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Acheh.

 

GOH Choon Aik

Ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, GOH CHOON AIK yang juga ‘ADUN Angkat’ bagi Sungai Acheh, kehadiran Buletin Mutiara ke sini baru-baru ini kebetulan adalah pada musim menuai padi.

 

 

Ambil kira faktor cuaca

 

Lama juga kami menunggu jentera di atas ‘ban’, mahu melihat sendiri sistem menuai cara moden.

 

Abdul Halim menyatakan bahawa sekiranya ingin menuai, mesti mengambil kira cuaca, dan tidak boleh semasa hujan.

 

“Tengok pada mesin menuai padi, patut boleh bergerak pada jam 10 pagi, tetapi kena tengok pada cuaca juga.

 

“Kalau mesin boleh beroperasi elok, tiada ada masalah, tetapi langit gelap, operasi mesti ditangguhkan.

 

“Sebab, kalau ‘ambil’ padi semasa hujan, padi ini nanti dia ‘tak keluar’,” selorohnya.

 

 

Ancaman serangga perosak

 

Selain faktor cuaca yang menjadi cabaran semasa musim menuai, Abdul Halim memberitahu bahawa mereka paling takut ancaman serangga perosak.

 

Maka sebab itulah, kata beliau, rata-rata pesawah mesti kenal pasti jenis serangga perosak terlebih dahulu, kemudian menggunakan racun yang tepat supaya berkesan menjaga hasil perladangan mereka.

 

“Serangan serangga, bena perang pun ada; ulat gulung daun pun ada…itu semua memang menjejaskan hasil pertanian.

 

“Bagi mengelakkan serangan serangga, para petani kena pakai racun yang betul,” ulasnya.

KOS tuaian hasil padi dengan menggunakan jentera moden ditentukan mengikut keluasan tanah yang diusahakan.

 

 

Pulangan berbaloi

 

Di samping itu, Abdul Halim turut menjelaskan bagaimana harga hasil padi dibeli pada peringkat kilang.

 

“Harga yang kilang bayar kepada petani adalah RM1,200 untuk satu tan.

 

“Hasil bersih, kalau ditolak 20 peratus untuk satu tan padi, bermakna dipotong 200 kilogram (kg), tinggal 800 kg.

 

“(Tujuan) potong 20 peratus sebab ada tangkai padi tiada isi, ada padi lembab dan ‘kosong’…sebab itu masa nak menuai kalau boleh tak nak hujan langsung,” ceritanya.

 

Walaupun ada kaedah pemotongan 20 peratus beratan padi pada peringkat kilang, Abdul Halim menyatakan bahawa para pesawah masih berasa berbaloi kerana ada subsidi daripada Kerajaan Persekutuan.

HASIL padi elok sangat bergantung kepada cuaca, air, kerajinan petani dalam ‘menyerak’, ‘merumput’ serta kejenteraan pertanian moden.

 

Kemudahan teknologi moden

 

Mengusaha bendang sejak lebih 30 tahun lalu, Abdul Halim mengakui bahawa pelbagai kemudahan moden kini turut memudahkan kerja-kerja di bendang.

 

“Macam nak meracun, sekarang sudah boleh pakai dron (dengan tempoh) lima minit per hektar.

 

“Macam saya yang dah buat bendang kira-kira 30 tahun, tetapi masa dahulu saya buat sedikit (atas sebab ada kerja lain), tetapi sekarang saya buat banyak (seluas empat hektar).

 

“Selain daripada subsidi kerajaan, petani juga ada dapat bantuan racun bersubsidi.

 

“Bentuk-bentuk bantuan lain yang petani dapat adalah (kos sewaan) traktor yang dibayar ikut keluasan perusahaan.

 

“Di (kawasan Jelapang Padi) Sungai Acheh, saya sendiri mengusahakan tanaman padi atas tanah sendiri, payah nak jumpa petani sewa tanah orang lain.

 

“Sekarang…kalau nak sewa bendang pun, dah tiada ada orang nak bagi sewa sebab semua nak buat bendang kalau ada tanah sendiri.

 

“Petani rasa bukan sahaja mudah nak buat bendang (dengan pelbagai kemudahan kejenteraan moden pertanian), malah ada pelbagai bantuan daripada kerajaan yang membolehkan mereka berasa berbaloi,” jelasnya.

 

 

Zon Jelapang Padi

 

Sebelum itu, Choon Aik menjelaskan bahawa di daerah SPS, memang mempunyai Zon Jelapang Padi yang begitu luas.

 

 

Dalam Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) baru-baru ini, beliau berkata bahawa pihaknya bersyukur kerana Zon Jelapang Padi sedia ada di SPS dikekalkan dalam arus perancangan pembangunan masa depan untuk tempoh sedekad sehingga tahun 2030 nanti.

 

“Zon Jelapang Padi ini, adalah suatu pengezonan khusus yang mana tidak boleh diubah langsung, tidak seperti zon pertanian (ladang dan penternakan) boleh diubah kepada zon pembangunan (kawasan perumahan atau komersial).

 

“(Tujuan) pengezonan jelapang padi ini dikekalkan adalah untuk memastikan bekalan beras negara di negeri ini khususnya dan di negara ini umumnya adalah mencukupi.

 

“Tujuan kedua, kawasan jelapang padi juga menjadi kawasan tadahan semula jadi (macam hutan).

 

“Dahulu, di Bayan Baru dan Bayan Lepas juga mempunyai jelapang padi (macam di Sungai Acheh dan Sungai Chenaam), namun, selepas ditambun tanah dan dibangunkan (menjadi bandar baharu Bayan Baru), kini beberapa kawasan menghadapi risiko banjir kilat.

 

“Jadi, di SPS ini, jelapang padi sedia ada (dekat Sungai Acheh dan Sungai Chenaam) yang merupakan kawasan tadahan air semula jadi perlu dikekalkan kerana tanah-tanihnya memang sangat sesuai untuk tanaman padi…setahun dua musim (menuai),” ulasnya.

 

 

Aktiviti pertanian

 

Bagi Choon Aik, aktiviti pembangunan ekonomi di SPS adalah lebih elok ditumpukan kepada bidang pertanian seperti perladangan, penangkapan ikan, ternakan ikan sangkar serta penanaman padi sendiri.

 

“Kalau penduduk di sini nak masuk dalam sektor perindustrian, Taman Industri Batu Kawan yang rancak dibangunkan dekat Valdor, Tasek, Byram dan Batu Kawan sendiri telah ada.

 

“Di samping itu, kalau boleh, di Sungai Acheh dan Sungai Chenaam ini, diwujudkan pelbagai lagi produk agropelancongan seperti Pesta Padi (Antarabangsa Pulau Pinang) yang Dr. Norlela Ariffin (ADUN Penanti merangkap Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan) berjaya anjurkan di Kampung Terus.

 

“Lebih daripada itu, kalau boleh diwujudkan produk-produk agropelancongan seperti di Sekinchan (di Sabak Bernam, Selangor) yang mana pelancong asing dan pengunjung tempatan boleh datang untuk belajar serta menimba pengalaman secara langsung mengenai teknik pertanian moden, selain menikmati keindahan alam semula jadi.

 

“Mungkin selepas berakhirnya pandemik (COVID-19) ini, selepas habisnya satu-satu musim menuai padi di Sungai Acheh dan Sungai Chenaam, boleh dianjurkan acara permainan bola bendang atau pertandingan menangkap ‘ikan darat’ sebagai salah satu acara di bawah produk agropelancongan tempatan demi menjana pertumbuhan ekonomi kreatif di sini,” ujarnya.

GOH Choon Aik (kanan sekali) dengan dibantu oleh dua Pegawai Seranta beliau menyantuni serta menyampaikan pek bantuan makanan kepada seorang ibu tunggal yang orang kurang upaya (OKU) di Kampung Masjid Bukit Tambun.

ANTARA penerima bantuan di bawah Program Bakul Makanan Peringkat KADUN Bukit Tambun.

 

Jerayawara agih bakul makanan

 

Terdahulu, Buletin Mutiara turut berpeluang menyertai acara jerayawara Choon Aik membawa bantuan bakul makanan untuk penduduk yang terjejas dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kedua-dua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tambun dan Sungai Acheh.

 

“Bantuan ini mungkin boleh bertahan dalam satu atau dua minggu, jadi memang memerlukan lebih banyak lagi pek bantuan bekalan makanan untuk diagihkan kepada mereka semasa PKP yang berpanjangan ini,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana melancarkan pelbagai skim bantuan di bawah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang sebelum ini.