KRT Tmn. Keenways juara Anugerah Komuniti Mampan

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

bUKIT MERTAJAM – Anugerah Komuniti Mampan 2013 yang dianjurkan secara bersama oleh Majis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Flextronics Technology (Penang) Sdn. Bhd. baru-baru ini, menyemarakkan lagi usaha inovasi komuniti dalam memelihara alam sekitar.

Yang di-Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif mengumumkan, Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Keenways muncul sebagai pemenang Anugerah Komuniti Mampan 2013, diikuti, Persatuan Pemilik dan Penghuni Rumah Taman Tambun Indah Seberang Perai Selatan (tempat ke-2) dan Persatuan Amal Masyarakat Cina Taman Putri Gunung (tempat ke- 3).

Masing-masing menerima RM3,000, RM2,000 dan RM1,000. “Prinsip Local Action 21 digalakkan bagi melahirkan sebuah masyarakat dan komuniti setempat yang sihat dan peka terhadap isu-isu alam sekitar untuk diseimbangkan dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial,” ujar Maimunah dalam satu majlis di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, di sini baru-baru ini.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Tan Cheong Heng (Ahli Majlis MPSP) dan Michael Van Crombrugge (Pengurus Besar Flextronics Technology) turut hadir pada majlis itu.

Maimunah berkata, profil kejiranan, komuniti, organisasi, inisiatif komuniti ke arah kemampanan dan kemajuan, intergrasi sosial, kehijauan, tadbir urus dan keusahawanan adalah antara kriteria penting yang dinilai oleh jawatankuasa penganjur.

Dalam perkembangan sama, Maimunah turut mengumumkan Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Desa Damai sebagai penerima Anugerah Khas Inovasi dengan sumbangan saguhati sebanyak RM500.