1,000 anak pokok bakau selamatkan muara Sungai Burong

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

PROF. P. Ramasamy (tiga dari kanan) turut berganding bahu menanam anak pokok bakau sempena penganjuran ‘The Green War 2011’ di Sungai Burong baru-baru ini.
PROF. P. Ramasamy (tiga dari kanan) turut  berganding bahu menanam anak pokok bakau
sempena penganjuran ‘The Green War 2011’ di Sungai Burong baru-baru ini.

BALIK PULAU – Sebagai tanda sokongan ke arah misi Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang Bersih dan Hijau, Kolej KDU Pulau Pinang telah mengambil inisiatif khas menganjurkan ‘The Green War 2011’ bagi menyelamatkan muara Sungai Burong melalui penanaman 1,000 batang anak pokok bakau di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy yang hadir bagi merasmikan kempen tersebut berkata, ianya adalah inisiatif yang bermakna dan merupakan kesinambungan kepada usaha Kerajaan Negeri.

“Penganjuran program ini merupakan simbol dan platform buat generasi muda masa kini untuk menjaga persekitaran yang kondusif. Adalah menjadi perkara penting untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem bumi ini terutamanya hutan bakau daripada kepupusan,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata, pokok bakau perlu dikekalkan kerana berfungsi sebagai penghadang hakisan, mampu menangkap dan menyimpan pelbagai bahan organik, kandungan kimia serta nutrien penting di sepanjang persisiran pantai. Selain itu, ia juga merupakan habitat semulajadi kepada organisma laut.

Manakala, Pengarah Media dan Publisiti, Lee Li Youth berkata, objektif utama yang ingin diterapkan ialah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat dan penganjuran tersebut nampaknya telah berjaya mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 800 peserta dari pelbagai golongan telah mengambil bahagian.

“Usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu melestarikan hasrat Ketua Menteri untuk menanam 75,000 pokok di Pulau Pinang dan menjadikan negeri ini lebih bersih dan hijau,’’ jelas beliau sambil menyatakan bahawa anak-anak pokok bakau tersebut akan dipantau dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang.