100,000 sertai sambutan ambang 2012

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

countdown1

GEORGE TOWN – Sambutan ambang tahun baru 2012 yang diadakan di Padang Kota Lama baru-baru ini menghimpunkan lebih 100,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat sama ada pengunjung tempatan mahu-pun pengunjung di luar Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng turut tidak melepaskan peluang apabila hadir bersama meraikan kedatangan tahun baru yang pastinya menjanjikan sesuatu yang lebih baik daripada tahun 2011 buat semua warga Pulau Pinang.

Dalam ucapan beliau, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menjaga rakyatnya sama ada muda mahupun tua, murid-murid mahupun mahasiswa termasuk golongan yang kurang bernasib baik.

“Suara anda suara penting, suara anda suara keramat,” laung Ketua Menteri yang turut menegaskan bahawa anak-anak muda Pulau Pinang bukan sahaja menjadi harapan Pulau Pinang, malah, turut menjadi harapan negara dan mampu membentuk masa depan yang lebih cemerlang.

Selain itu, sambutan ‘Penang Golden 2012 New Year Eve Countdown’ yang diadakan seawal jam tiga petang turut diserikan dengan persembahan artis-artis tempatan antaranya Vilanz, Aquila & The ‘V’ Voice, Alexis Gan, kumpulan Sofaz, Bunkface dan Azlan & The Typewriter.

Selain acara nyanyian, turut diadakan tarian jalanan, persembahan muzik kontemporari dan pertunjukan bunga api yang dinanti-nantikan oleh pengunjung yang bertandang ke Padang Kota Lama.

Hadir sama ke sambutan ambang tahun baru 2012 adalah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan  Negeri, Yang diPertua Majlis Perbandaran dan beberapa dif-dif jemputan khas.