MPSP pergiat penguatkuasaan papan iklan

ANTARA contoh PAPAN iklan yang dibina di sepanjang lebuhraya di sini.
ANTARA contoh papan iklan yang dibina di sepanjang lebuhraya di sini.

SEBERANG PERAI – Bagi mengelakkan tindakan tegas diambil, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyeru agar syarikat-syarikat yang ingin mendirikan papan iklan di kawasan Seberang Perai supaya memohon lesen terlebih dahulu dan mematuhi semua syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Ini kerana, sekiranya aduan diterima, MPSP berhak untuk mengeluarkan notis 14 hari. Selepas itu, jika tiada sebarang perubahan, denda sebanyak tiga kali ganda akan dikenakan kepada syarikat yang bertanggungjawab mendirikan papan iklan terbabit.

Tindakan tersebut bakal dilaksanakan Jawatankuasa ‘Taskforce’ yang diwujudkan MPSP pada tahun 2012 bagi menggiatkan kerja-kerja penguatkuasaan.

Dalam pada itu, MPSP turut mensyaratkan agar setiap papan iklan yang dibina harus menaikkan slogan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MPSP di samping harus mengandungi perkataan Bahasa Melayu.

Tujuan slogan adalah bagi mempromosi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Papan iklan juga tidak boleh mengandungi unsur-unsur keganasan dan isu seksual.