11 kluster strategik perkukuh tadbir urus, kecekapan operasi GLC negeri

Admin
whatsapp image 2026 11 05 at 15.24.03

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri sedang melaksanakan kajian menyeluruh bagi memperkukuh peranan dan prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) susulan penyusunan semula 18 GLC kepada 11 kluster strategik.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan pertindihan fungsi, mengoptimumkan kos operasi serta memastikan mandat setiap GLC selari dengan keutamaan sosioekonomi negeri.

Menurut beliau, Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) telah melantik perunding untuk menjalankan kajian strategik menyeluruh selama setahun bagi meneliti hala tuju dan keberkesanan operasi syarikat-syarikat berkenaan.

Sesi libat urus bersama semua GLC telah selesai pada Oktober lalu, manakala laporan kajian dijadualkan dibentangkan pada Disember ini sebelum dimuktamadkan pada Februari 2027.

“Sebarang penstrukturan korporat atau penyelarasan fungsi akan berpandukan dapatan kajian tersebut,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Kelima Belas sebagai menjawab soalan daripada ADUN Seberang Jaya dan ADUN Air Itam di sini hari ini.

Dalam skop kajian tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui CMI juga akan meneliti semula mandat, objektif penubuhan dan ruang pelaburan setiap GLC bagi mengenal pasti syarikat yang berpotensi meneroka peluang pelaburan strategik.

Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan GLC bukan sahaja berperanan melaksanakan mandat masing-masing, malah berupaya menyumbang kepada kepelbagaian sumber pendapatan serta memperkukuh kedudukan kewangan Kerajaan Negeri dalam jangka panjang.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut mengambil langkah memperkukuh tadbir urus GLC menerusi penambahbaikan perancangan strategik, pemantauan prestasi, pelaporan misi dan kawalan dalaman.

Kerajaan Negeri menilai prestasi GLC bukan atas keuntungan semata-mata, tetapi mengimbangi pulangan pelaburan (ROI) dan pulangan nilai (RoV) kepada masyarakat.

“Pulangan nilai sosial seperti peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran rakyat, pemerkasaan usahawan dan kesejahteraan masyarakat perlu diukur berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan,” ujarnya.

Selain itu, beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa InvestPenang turut bekerjasama dengan CMI dalam menyediakan Piagam Tadbir Urus bagi menyeragamkan amalan tadbir urus GLC negeri pada masa hadapan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI