RM50.93 juta program i-Sejahtera antara manfaat diterima rakyat hasil pertumbuhan ekonomi kukuh

Admin
img 20261105 wa0044

GEORGE TOWN – Pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang yang kukuh bukan sekadar diukur menerusi peningkatan hasil negeri dan kemasukan pelaburan, malah turut diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk program i-Sejahtera.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri menyalurkan manfaat pertumbuhan ekonomi kepada rakyat melalui dua saluran utama iaitu pewujudan peluang pekerjaan dan pengembangan perniagaan menerusi pelaburan serta penggunaan hasil negeri bagi membiayai bantuan rakyat, pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan awam.

Menurut beliau, bagi Fasa 1 Program i-Sejahtera tahun 2026 sahaja, sebanyak RM50.93 juta telah disalurkan kepada 281,135 penerima yang layak.

“Melalui Program i-Sejahtera, Kerajaan Negeri memperuntukkan sekitar RM50 juta hingga RM65 juta setahun, dengan perhatian khusus kepada golongan yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini, hari ini.

Selain bantuan rakyat, Kon Yeow menjelaskan bahawa manfaat ekonomi turut disalurkan melalui perkembangan perniagaan dan pelaburan yang membuka peluang pekerjaan serta meluaskan pasaran perusahaan tempatan.

“Usaha ini disokong melalui Skim Pinjaman Harapan (SPH) dan Pembiayaan Mikro yang diuruskan bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi menyediakan pembiayaan tanpa faedah atau berkadar rendah kepada usahawan mikro, peniaga kecil dan penjaja,” katanya sebagai menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Terdahulu, semasa membentangkan Belanjawan Pulau Pinang 2027, Kon Yeow memaklumkan bahawa sejak diperkenalkan pada 2009, rogram i-Sejahtera terus menjadi antara inisiatif utama Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan golongan rentan, khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan suri rumah.

“Sehingga 30 September 2026, Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak RM57.8 juta menerusi pelaksanaan Fasa 1 dan Fasa 2, yang memberi manfaat kepada 299,504 penerima,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri turut merancang memperluas skop program berkenaan pada tahun 2027 menerusi pengenalan Program Mempelai Emas, sebagai penghargaan kepada pasangan muda yang baharu mendirikan rumah tangga di Pulau Pinang.

Menerusi inisiatif baharu itu, pasangan yang memenuhi syarat kelayakan bakal menerima sumbangan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM500, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5 juta.

Beliau menegaskan bahawa pengukuhan kutipan serta kepelbagaian sumber hasil negeri amat penting bagi memastikan kesinambungan pembiayaan program kebajikan rakyat dapat dilaksanakan secara mampan.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi hanya benar-benar bermakna apabila hasilnya dapat dinikmati secara meluas oleh masyarakat, termasuk melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan, kemampuan memiliki rumah serta akses kepada perkhidmatan awam yang berkualiti.

“Justeru, ukuran sebenar kejayaan pertumbuhan ekonomi bukan sekadar angka pelaburan atau peningkatan hasil negeri tetapi sejauh mana kemakmuran itu dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat,” jelas Kon Yeow.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI